VIDYANANTHAN – PEMILIK LESEN GRED A & B BOLEH TANGKAP IKAN

(JOHOR BAHRU, 13 APRIL) Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R. Vidyananthan memaklumkan bahawa pihak Kerajaan membenarkan nelayan yang memiliki lesen gred A dan B boleh terus menjalankan aktiviti penangkapan ikan. Walau bagaimanapun, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menasihatkan agar orang ramai tidak ke laut untuk memancing sepanjang tempoh PKP.


Vidyananthan dalam kenyataan pada hari ini memberitahu bahawa pihak APMM telah membuat rondaan melibatkan seramai 145 orang anggota bagi meningkatkan pemantauan aktiviti di sempadan perairan laut negeri Johor.


Beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak 37 mukim di negeri Johor berada dalam zon hijau tanpa sebarang kes jangkitan COVID-19 direkodkan berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Johor setakat 12 April.

Manakala, sebanyak 49 kawasan berada dalam zon kuning, empat kawasan lagi direkodkan sebagai zon jingga manakala Ulu Benut di Kluang dan Plentong di Johor Bahru dalam kawasan zon merah dengan catatan melebihi 40 kes.


Jelas beliau, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor telah melaksanakan Operasi Sanitasi Awam di 632 lokasi di negeri Johor sejak 27 Mac sehingga 12 April. Operasi tersebut telah mendapat kerjasama daripada agensi berkaitan seperti SWCorp, Polis Diraja Malaysia (PDRM), RELA, SWM Environment, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor.


Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan orang ramai untuk mematuhi arahan sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pihak polis akan bertindak dengan lebih tegas dan mengeluarkan kompaun sebanyak RM1,000 kepada sesiapa yang ingkar.


Sehingga semalam, negeri Johor merekodkan sebanyak 588 kes jangkitan COVID-19 secara jumlah keseluruhan termasuk 14 kes baru dikesan semalam dan tiada sebarang kes kematian dicatat.