VIDYANANTHAN – 89 SYARIKAT DISIASAT, 4 LANGGAR PERINTAH

(JOHOR BAHRU, 16 APRIL) Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R. Vidyananthan memaklumkan bahawa tahap pematuhan majikan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 8 April 2020 adalah amat memuaskan. Sebanyak 89 majikan telah disiasat sepanjang tempoh tersebut manakala empat majikan lagi telah diberi notis penutupan oleh pasukan khas penguatkuasa atas kegagalan mematuhi perintah berkenaan.

Majikan yang telah disiasat diberi peringatan untuk mematuhi langkah-langkah keselamatan dan kebersihan termasuk menyediakan topeng muka, cecair pembasmi kuman, sarung tangan, mendidik pekerja untuk sentiasa membasuh tangan dengan sabun dan air yang bersih serta menjaga jarak sosial di antara mereka.

Vidyananthan dalam kenyataan pada hari ini turut memberitahu bahawa Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Johor telah diberikan kuasa di bawah Seksyen 3 dan 18(1)(F) Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana kilang atau majikan atau pengusaha yang menjalankan operasi tanpa kebenaran.

Menurut beliau, antara aduan yang telah diterima dan dikendalikan JTK Negeri Johor merangkumi perkara berkaitan operasi syarikat tanpa surat kebenaran pihak berkuasa, syarikat yang bukan perkhidmatan perlu beroperasi, syarikat yang melaksanakan pemberhentian kerja dalam tempoh PKP, syarikat enggan membayar gaji sepanjang tempoh PKP dan kegagalan syarikat mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak MITI, KKM, JKKP dan KPDNKK.

Beliau turut memaklumkan tentang sesi mediasi dalam membantu 193 majikan yang telah mengemukakan borang permohonan pemberhentian (Borang PK) yang melibatkan 5,026 pekerja. Katanya, jumlah majikan yang terkesan dijangka meningkat berikutan perlanjutan tempoh PKP oleh pihak Kerajaan.

Sementara itu, Vidyananthan turut memberitahu bahawa tiada pertambahan pesakit sembuh daripada COVID-19 sehingga 15 April dengan mengekalkan jumlah kumulatif pesakit sembuh di negeri Johor seramai 349 kes setakat 14 April.

TAHAP PEMATUHAN PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN MENURUN BERTERUSAN

Beliau berkata tahap pematuhan PKP di negeri Johor mencatatkan penurunan secara berterusan sejak dua hari lalu dari 97.09% pada 13 April dan 96.92% pada 14 April kepada 96.51% pada semalam, 15 April.

Vidyananthan turut memaklumkan tentang Operasi Sanitasi Awam yang telah mula dilaksanakan sejak 27 Mac dan sehingga 15 April ini melibatkan sebanyak 759 lokasi membabitkan tempat tumpuan awam seperti pasar awam, terminal bas dan teksi, bangunan kerajaan serta stesen-stesen minyak diselaraskan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Johor.

Operasi berkenaan telah mendapat kerjasama daripada jabatan dan agensi berkaitan seperti SWCorp Negeri Johor, Polis Diraja Malaysia (PDRM), RELA, SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor.