SWM KASIH SALUR SUMBANGAN RM52 RIBU – BANTU GOLONGAN BERPENDAPATAN RENDAH TERKESAN PANDEMK

(JOHOR BAHRU, 23 APRIL) SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) menyalurkan peruntukan kepada 26 buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menyokong program bantuan COVID-19 yang akan disumbangkan kepada golongan berpendapatan rendah yang terjejas akibat penularan pandemik berkenaan di negeri Johor.

Ketua Pegawai Eksekutif, Ho De Leong di dalam kenyataannya memberitahu bahawa sumbangan berkenaan bakal meringankan beban sekitar 800 buah keluarga sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan dalam masa yang sama membantu umat Islam menyambut bulan Ramadan.

PENGLIBATAN 26 NGO

Beliau berkata, penyaluran peruntukan kepada 26 NGO tersebut adalah berdasarkan peranan, pengalaman dan keupayaan mereka untuk mendekati sekali gus memastikan pengagihan sumbangan SWM Kasih berkenaan yang berbentuk barangan keperluan harian diterima oleh golongan sasar di peringkat akar umbi.

Tambah beliau, SWM Environment melalui entiti tanggungjawab sosial korporat (CSR), SWM Kasih akan terus menyumbang kembali kepada segenap lapisan masyarakat di seluruh negeri Johor secara tahunan dalam bentuk sumbangan kebajikan, perayaan dan pendidikan.

Sementara itu, Dato’ Mohd Rashid Hasnon yang mewakili 26 NGO berkenaan memaklumkan bahawa setiap penerima sumbangan tersebut telah disaring dan dirujuk terlebih dahulu dengan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM).

Beliau berkata demikian selepas menerima penyerahan sumbangan oleh Pengurus Wilayah Johor SWM Environment, Mohd Zan Arris dengan disaksikan oleh Dr. Chong Fat Full, EXCO Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor.