SWM ENVIRONMENT SEDIAKAN KEPERLUAN PENCEGAHAN PENYAKIT WABAK

(JOHOR BAHRU, 19 FEBRUARI) SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) Wilayah Johor Selatan meningkatkan langkah perlindungan pekerja dan pencegahan wabak penyakit dengan menyediakan keperluan topeng perlindungan dan cecair pencuci secukupnya. Langkah tersebut diambil memandangkan pekerja SWM Environment berada di barisan hadapan dalam memastikan kebersihan persekitaran khususnya di kawasan tumpuan pelancong berisiko dijangkiti sebarang penyakit berjangkit.


Pengurus Wilayah Johor, Mohd Zan Arris berkata, SWM Environment mengikuti cadangan sementara yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam mengambil tindakan bagi meningkatkan perlindungan keselamatan dan kesihatan pekerja. Selain menyediakan keperluan perlindungan diri, pihak SWM Environment turut menjalinkan kerjasama dengan Pejabat Kesihatan Daerah bagi memberi taklimat kesedaran pencegahan wabak penyakit.


Pihak SWM Environment juga akan memberi perhatian khusus kepada pekerja Unit Pusat Bandar yang berada di lokasi tumpuan pelancong dan berisiko mendapat jangkitan penyakit sekali gus mengelakkan kebersihan terjejas sehingga mengganggu kelancaran Tahun Melawat Johor 2020.


Beliau berkata demikian selepas menghadiri Taklimat Perlindungan Diri dan Pencegahan Wabak Penyakit Berjangkit yang berlangsung di SWM Mersing hari ini.