SWM ENVIRONMENT, PERKESO TINGKATKAN KESEDARAN KESELAMATAN DAN KESIHATAN

(KLUANG, 12 OKTOBER) SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) komited memastikan keselamatan dan kesihatan yang sentiasa menjadi keutamaan melalui penganjuran program Advokasi Kesedaran Keselamatan Perjalanan ke Tempat Kerja membabitkan 6,508 warga kerja di negeri Johor.

Pengurus Wilayah Johor, Mohd Zan Arris berkata, program tersebut merupakan platform bagi meningkatkan kesedaran keselamatan perjalanan ke tempat kerja membabitkan warga kerja SWM Environment yang menjadi tulang belakang perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di samping turut mendapat manfaat berbentuk perlindungan insurans dan rawatan perubatan.

Jelasnya, program yang bermula di SWM Environment Cawangan Kluang bakal diperluaskan ke setiap cawangan di negeri Johor. Menerusi program tersebut, warga kerja SWM Environment telah menerima topi keledar keselamatan yang disumbangkan oleh pihak PERKESO. Pihak SWM Environment turut mengedarkan Pek SWM Kasih COVID-19 yang mengandungi keperluan perlindungan diri daripada wabak COVID-19 seperti pelitup muka, penanitasi tangan, pencuci tangan dan pembersih badan.