SWM ENVIRONMENT JALIN KERJASAMA DENGAN MAJLIS DAERAH MERSING – LAKSANAKAN PROGRAM KITAR SEMULA BERGANJARAN

(MERSING, 20 FEBRUARI) SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) telah bekerjasama dengan Majlis Daerah Mersing (MDM) bagi melaksanakan program kitar semula berganjaran, KITAR3CYCLE yang bermatlamat melestarikan alam sekitar.

Pengurus Wilayah Johor, Mohd Zan Arris berkata, pihak SWM Environment berharap agar kerjasama dapat diwujudkan dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mengembangkan perlaksanaan program berkenaan di negeri Johor termasuk melibatkan masyarakat akar umbi.

Program KITAR3CYCLE yang diperkenalkan oleh pihak SWM Environment menawarkan mata ganjaran yang boleh ditebus kepada wang tunai melalui aplikasi telefon pintar bertujuan untuk membudayakan amalan kitar semula melalui kaedah Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca (PSDP) sekali gus mengurangkan pelepasan karbon.

“Pihak SWM Environment akan melaksanakan program tersebut secara berperingkat di kawasan MDM dan berharap agar ia mampu mengurangkan penghantaran sisa buangan ke tapak-tapak pelupusan.”

Selain kertas, plastik dan aluminium, program KITAR3CYCLE menawarkan mata ganjaran kepada 30 barangan kitar semula seperti tekstil, komponen elektrik dan elektronik serta botol kaca. Pihak SWM Environment amat mengalu-alukan sebarang kerjasama strategik yang boleh dikemukakan permohonan atau pertanyaan melalui Talian WhatsApp SWM di 012-618 0082.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon dan Yang Dipertua Majlis Daerah Mersing, Norazmi Amir Hamzah telah hadir dan bersama-sama melancarkan program berkenaan.