SWM ENVIRONMENT BEROPERASI SEPERTI BIASA

(JOHOR BAHRU, 17 MAC) Berikutan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa 18 Mac, pihak SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) telah mengambil langkah pencegahan dan perlindungan diri pekerja di lapangan di samping memastikan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam beroperasi seperti biasa.

Dalam satu kenyataan pada hari ini, pihak SWM Environment memaklumkan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di negeri Johor, Melaka dan Negeri Sembilan akan beroperasi biasa sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Justeru itu, pihak SWM Environment menyeru orang ramai untuk menguruskan sisa buangan mereka mengikut kaedah yang betul dengan membungkus sisa buangan dan ditempatkannya di tepi tong sampah beroda (TSB). Kaedah tersebut berkesan untuk mengurangkan risiko penularan penyakit berjangkit dan meningkatkan kualiti kebersihan alam sekitar.

Sementara itu, warga SWM Environment telah dinasihatkan untuk mematuhi Prosedur Piawaian Operasi (SOP) seperti memakai sarung tangan dan menggunakan cecair pencuci tangan (hand sanitizer) serta mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa bagi mengurangkan risiko penyakit berjangkit.

Pihak syarikat juga akan mematuhi arahan Kerajaan dengan tidak membenarkan pergerakan pekerja ke luar negara dan menasihatkan pekerja yang mempunyai simptom seperti batuk, demam dan selsema untuk segara mendapatkan rawatan di klinik atau hospital.