SWM ENVIRONMENT BEROPERASI SEPERTI BIASA

(JOHOR BAHRU, 18 MAC) Syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) akan beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari. Malah, pihak SWM Environment turut mengambil langkah perlindungan kesihatan dan keselamatan warga kerjanya daripada dijangkiti wabak Novel Coronavirus (Covid-19).

Dalam kenyataannya, Ketua Pegawai Eksekutif SWM Environment, Ho De Leong memaklumkan bahawa syarikat konsesi yang beroperasi di negeri Johor, Melaka dan negeri Sembilan tersebut memandang serius soal kesihatan dan keselamatan pekerja di lapangan. Para pekerja telah diwajibkan menggunakan kelengkapan perlindungan diri seperti sarung tangan, topeng muka dan cecair pembasmi kuman (hand sanitizer) bagi mengurangkan risiko jangkitan.

Menurutnya lagi, pihak syarikat juga menjalinkan kerjasama erat dengan Jabatan Kesihatan Negeri bagi membentuk kesedaran dalam kalangan anggota SWM Environment. Pihak pengurusan turut menguatkuasakan larangan ke luar negara dan menasihatkan agar para pekerjanya mendapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital sekiranya mengalami sebarang simptom seperti batuk, demam dan selesema.

Sementara itu, beliau turut menyeru orang ramai untuk menguruskan sisa buangan mereka secara tertiba dengan membungkus dan menempatkannya di tepi tong sampah beroda. Pengurusan sisa buangan yang tertiba mampu mengurangkan risiko jangkitan penyakit.