SWM Environment Bekerjasama Dengan 2 Unit. Sukarelawan NS, Melaka & Johor Membersihkan Pantai.

(Port Dickson, 27.09.2020) Bersempena dengan World Cleanup Day 2020, SWM Environment, SWCorp dan Coca-Cola Malaysia berganding bahu bersama-sama melaksanakan kerja pembersihan pantai bagi melindungi laut dengan tema Sinergi Untuk Ekologi Bersama.


SWM Environment dan SWCorp turut berganding bahu bersama Pihak Berkuasa Tempatan dan sukarelawan untuk menjalankan pembersihan serentak di 19 lokasi lain di ketiga-tiga negeri tersebut, membawa jumlah lokasi yang menjalankan program World Cleanup Day di wilayah selatan kepada 24 lokasi: 9 (Negeri Sembilan), 4 (Melaka) dan 11 (Johor). Jumlah keseluruhan lokasi yang menjalankan program World Cleanup Day pada peringkat kebangsaan adalah sebanyak 45 lokasi.


Pelancaran peringkat kebangsaan program tersebut dijalankan di kawasan pesisiran pantai berhampiran dengan perkampungan nelayan di Kampung Ladang dan Kampung Pendas Baru, Gelang Patah,Johor yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Dato’ Sri Dr. Haji Ismail Bin Haji Abd. Muttalib.


Inspirasi Bagi Orang Ramai Menyelamatkan Hidupan Marin.


Dalam masa yang sama, sidang media yang disertai oleh lebih daripada 100 orang sukarelawan yang membersihkan pantai Port Dickson. Tuan Haji Mohd Norlisam, Pengurus Besar Korporat SWM Environment menyatakan bahawa penganjuran program ini adalah selaras dengan matlamat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bersih, indah dan sejahtera selain memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar.

Di samping itu, program tersebut diadakan sempena meraikan acara global ‘World Cleanup Day 2020’ serta ‘International Coastal Cleanup Day’ pada 19 September 2020 dengan matlamat memberi kesedaran kepada orang ramai terhadap kepentingan menjaga kebersihan pantai demi kelangsungan ekologi hidupan marin.

“Masalah pencemaran pantai dan serpihan sampah di lautan merupakan isu global yang perlu ditangani bersama oleh semua pihak. Jika dibiarkan berlarutan, kita akan melihat lebih banyak kemusnahan habitat pelbagai jenis hidupan marin dan seterusnya membawa kepada ancaman kepupusan spesies ini.


“Melalui penganjuran program pembersihan pantai seperti ini, orang ramai diberi peluang untuk terlibat sama dalam pemuliharaan hidupan marin. Dengan langkah yang kecil ini, kita mampu untuk menyelamatkan hidupan marin dan seterusnya mengekalkan kelestarian ekosistem demi kesinambungan generasi masa depan,” katanya.


“Salah satu matlamat program ini juga adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pengurusan sisa pepejal yang berhemah, pembudayaan 3R (Reduce, Reuse, Recycle) dan Pengasingan Sisa di Punca (SAS). Jika masyarakat menerapkan amalan ini, pasti masalah pembuangan sampah di tempat tumpuan orang ramai serta pantai dan laut akan dapat dihentikan,” katanya.


Barry O’Connell: Beri Perhatian Kepada Konsep Pembangunan Lestari


Ketua Pegawai Eksekutif Coca-Cola Malaysia, Singapura dan Brunei, Barry O’Connell berkata, “Kelestarian adalah penting dalam setiap aspek perniagaan kami. Oleh itu, Coca-Cola Malaysia amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan SWM Environment untuk program pembersihan pantai. Adalah menjadi harapan kami visi “World Without Waste’ dapat direalisasikan iaitu menjelang 2030, misi mengumpul dan mengitar semula botol atau tin untuk setiap yang dijual.


Peralihan minda amat diperlukan untuk mengurangkan kadar sisa dan meningkatkan amalan kitar semula di kalangan rakyat Malaysia. Untuk melakukannya, kita perlu meningkatkan kesedaran secara kolektif dan membantu masyarakat memahami nilai dalam kitar semula, proses dan cara mengitar semula.


Pemberian mata ganjaran yang boleh ditebus dalam bentuk wang tunai ini adalah sebagai penghargaan kepada sukarelawan atas usaha mereka dalam program pembersihan pantai tersebut dan juga sebagai galakan agar mereka terus mempraktikkan amalan kitar semula dalam kehidupan seharian.