SWM AGIH PEK SWM KASIH COVID-19 KEPADA PEKERJA

(Berita Batu Pahat) SWM Environment Sdn. Bhd. mengedarkan Pek SWM Kasih Covid-19 kepada 7,872 orang anggota pekerja di negeri Johor, Melaka dan Negeri Sembilan. Manakala Johor Utara sebanyak 2,225 unit Pek SWM Kasih Covid-19.

Melalui kenyataan media dari Ketua Pegawai Eksekutif SWM Environment Encik Ho De Leong, sumbangan berbentuk barang-barang yang bertujuan membantu dalam mengurangkan risiko pendedahan kepada jangkitan serta berguna dalam penjagaan kebersihan diri seperti pelitup muka, pensanitasi tangan dan barangan kebersihan diri anti-bakteria diagihkan setelah memperhalusi keperluan warga kerja SWM Environment untuk melalui kehidupan seharian semasa penularan pandemik COVID-19 yang kembali meningkat.

Katanya, sumbangan melalui entiti tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat iaitu SWM Kasih ini merupakan inisiatif sampingan bagi menyokong Langkah Perlindungan dan Pencegahan COVID-19 yang dilaksanakan secara berterusan sejak bulan Februari lalu dalam memastikan seluruh warga kerja SWM Environment terutama anggota di barisan hadapan perkhidmatan perlu terhindar daripada risiko jangkitan.

“Pihak SWM Environment telah mula melaksanakan inisiatif SWM Kasih COVID-19 sejak bulan April yang lalu dengan sumbangan disalurkan kepada golongan pekerja syarikat berpendapatan rendah (B40). Tambahnya, penerima manfaat inisiatif SWM Kasih berkenaan telah diperluaskan kepada warga kerja SWM Environment dan kontraktor bagi menghargai peranan mereka sebagai frontliner kebersihan Negara”.