SWCORP: KURANG JANA SAMPAH, KADAR KITAR SEMULA CECAH 40% MENJELANG 2025

(JOHOR BAHRU, 13 OGOS) Pengarah SWCorp Negeri Johor, Cairul Hisham Jalaluddin berkata, kadar kitar semula meningkat dan dijangka mencecah 40% menjelang tahun 2025 sekali gus menyaksikan penurunan janaan sampah di tapak-tapak pelupusan. Jelas beliau, kadar kitar semula kebangsaan merekodkan sekitar 32% melepasi kadar sasaran 30% yang harus dicapai pada tahun 2020.

”Peningkatan kadar kitar semula tersebut disumbang daripada Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca yang dilaksanakan orang ramai di samping kutipan barangan kitar semula oleh pemungut barangan lusuh.”

Sementara itu, kitar semula di negeri Johor tersebut adalah berdasarkan data kebangsaan dan pihak SWCorp akan menilai selanjutnya keperluan penetapan kadar kitar semula bagi setiap negeri.

80% KADAR KITAR SEMULA DI NEGARA MAJU

Beliau turut memaklumkan tentang kadar kitar semula di negara-negara maju yang tinggi mencecah 80%. Oleh itu, Malaysia masih perlu terus meningkatkan dan mencapai kadar tersebut.

Tambah beliau, pihak SWCorp menyokong penuh pengenalan program kitar semula berganjaran, KITARecycle yang akan disepadankan bersama Kempen Buang Sampah Ke Dalam Tong Sampah di samping mempromosikan kaedah Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat SWM Environment Negeri Johor dengan diiringi oleh Pengurus Wilayah Johor SWM Environment, Mohd Zan Arris bersama Pengurus Operasi Wilayah Johor Selatan, Tam Leong Fon dan Pengurus Operasi Wilayah Johor Utara dan Melaka, Khaw Su Aun.