KETUA MENTERI RAI PETUGAS PEMBERSIHAN SWM

...

AYER LIMAU, 17 March 2026

Peranan dimainkan oleh setiap petugas pembersihan dianggap amat besar terutama dalam menyokong usaha pembangunan negeri yang berterusan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Sehubungan itu Ketua Menteri meraikan seramai 140 kakitangan SWM Environment  Sdn Bhd Masjid Tanah dalam perjumpaan singkat berlangsung di Dewan Komuniti Kampung Pinang, Masjid Tanah di sini, hari ini.

“Perjumpaan ini tidak ada dalam jadual saya, namun atas semangat gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) saya hadir untuk meraikan anda semua.

“Kehadiran saya adalah tanda keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kebajikan segenap lapisan orang Melaka. Kita buat tugas masing-masing demi bersama-sama membangunkan Melaka,” kata Ketua Menteri Ketika berucap pada majlis berkenaan.

Hadir sama Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim.

Pada perjumpaan sama Ketua Menteri turut menyampaikan sumbangan duit raya dan baucar bagi membeli ayam segar RM5 seekor pada jualan serentak Khamis ini.

 

https://www.melakahariini.my/ketua-menteri-rai-petugas-pembersihan-swm/