PROGRAM WORLD CLEANUP DAY DI 11 LOKASI NEGERI JOHOR BERSIHKAN 6,000 KG SAMPAH

(JOHOR BAHRU, 23 SEPTEMBER) Program World Cleanup Day 2020 yang berlangsung serentak di 11 lokasi sekitar negeri Johor telah menyaksikan sebanyak 6,474 kilogram sampah dibersihkan. Negeri Johor juga telah dipilih menjadi lokasi pelancaran peringkat kebangsaan yang diadakan di Kampung Ladang dan Kampung Pendas Baru, Gelang Patah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Sri Dr. Ismail Muttalib pada 19 September lalu.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, program anjuran bersama SWCorp tersebut telah membabitkan seramai 1,400 sukarelawan daripada 53 organisasi berbeza latarbelakang seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institut pengajian tinggi (IPT), agensi awam dan swasta.

Menurut beliau, pihak SWM Environment turut memperkenalkan Hadiah Kutipan Pembersihan Tertinggi yang menyaksikan sukarelawan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Syamsul Hendra Mahmud telah membersihkan sebanyak 89.5 kilogram sampah.

Selain itu, aktiviti pembersihan pantai turut diadakan di Pantai Teluk Gorek, Mersing dan Pantai Perpat, Batu Pahat yang bertemakan Sinergi Untuk Ekologi Bersama.