PENUTUP MULUT JANGAN BUANG MERATA TEMPAT, LUPUS DENGAN CARA YANG BETUL DAN MENJAGA KEBERSIHAN


(Berita Batu Pahat) Semasa musim wabak jangkitan COVID-19 ini, pelitup mulut telah menjadi salah satu keperluan harian. Tetapi masih terdapat segelintir masyarakat yang tidak memahami cara melupus pelitup mulut dengan kaedah yang betul selepas digunakan. Cara melupus yang betul adalah melipat pelitup mulut dan diikat dengan sempurna kemudian masukkannya ke dalam bekas plastik bagi mengelak jangkitan merebak.


Pengurus Wilayah SWM Environment negeri Johor, Encik Mohd Zan Bin Arris berkata demikian ketika dalam ucapannya bersempena “Program Kempen Kibarkan Jalur Gemilang SWM Environment Johor Utara” di Pejabat SWM Environment Pura Kencana, Sri Gading, Batu Pahat di sini hari ini.


Menurutnya lagi, orang ramai perlu melipat pelitup mulut dengan kaedah yang betul kemudian mengikatnya dengan sempurna sebelum memasukkannya ke dalam beg plastik lalu dibuang ke dalam tong sampah. “Pihak SWM Environment juga berharap dengan cara ini ia dapat mengurangkan risiko dan melindungi keselamatan pekerja ketika menjalankan tugas mengutip sampah. Orang ramai diharap dapat memberikan kerjasama dengan sepenuhnya”.


Beliau menegaskan lagi, pelitup mulut bukan bahan yang boleh dikitar semula. Sekiranya, orang ramai yang ingin makan atau minum, perlu memasukkan pelitup mulut itu dalam beg plastik dan jangan meletakannya begitu sahaja di atas meja.


Sementara itu, pihak SWM Environment ada menempatkan dua orang pekerja bertugas di Pantai Minyak Beku untuk membersihkan sampah di kawasan berkenaan.


Kata Encik Mohd Zan Bin Arris lagi, “Pantai Minyak Beku adalah merupakan salah satu kawasan tumpuan pengunjung, lebih lebih lagi selepas perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pada setiap hujung minggu akan menarik orang ramai untuk berkunjung ke sana. Segelintir pengunjung telah membuang sampah di merata rata tempat dan menyebabkan masalah sampah sarap berlaku”. “Pekerja SWM Environment akan buat pembersihan di kawasan pantai mengikut jadual setiap hari. Bagi kawasan di kaki bukit atau semak pula ianya bukan di dalam kawasan perkhidmatan SWM Environment. Oleh yang demikian, mohon kerjasama orang ramai agar tidak membuang sampah di kawasan semak dan tepi pantai demi persekitaran yang bersih”.


Kira kira lebih 70 orang warga SWM Environment kawasan Johor Utara dan beberapa unit kenderaan terlibat dalam Program Kibarkan Jalur Gemilang pada hari ini untuk meraikan ketibaan sambutan kemerdekaan negara pada tahun ini.


Turut hadir merasmikan program, Tuan Molzairy bin Yahya, Penolong Pengarah Penguatkuasa SWCorp Kawasan Batu Pahat, dan Encik Mohd Faiz, Penolong Pegawai Penguatkuasa SWCorp Batu Pahat, Encik Khaw Su Aun, Pengurus Operasi Wilayah Johor Utara dan Dr Peter Looi, Pengurus Perkhidmatan Kawasan SWM Environment Johor Utara.