Pembersihan Pantai Serentak Anjuran SWM ENVIRONMENT

SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) dengan kerjasama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Coca-Cola Bottlers Malaysia Sdn. Bhd. (Coca-Cola) menganjurkan program pembersihan pantai bertemakan Sinergi Untuk Ekologi Bersama yang berlangsung serentak melibatkan lima lokasi utama di ketiga-tiga negeri wilayah selatan iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, Sabtu lalu.


SWM Environment dan SWCorp turut berganding bahu bersama Pihak Berkuasa Tempatan dan sukarelawan untuk menjalankan pembersihan serentak di 19 lokasi lain di ketiga-tiga negeri tersebut, membawa jumlah lokasi yang menjalankan program World Cleanup Day di wilayah selatan kepada 24 lokasi: 9 (Negeri Sembilan), 4 (Melaka) dan 11 (Johor).


Bagi program pembersihan di Tanjung Dahan Melaka, gimik perasmian telah disempurnakan oleh Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Wira Ismail Othman.

Turut hadir, Pengarah SWCorp Melaka, Khairuladha Ab Mutalib dan Pengurus Wilayah Melaka dan Negeri Sembilan SWM Environment; Dr Al’Ashari Othman.

Aktiviti pembersihan di pesisiran Pantai Tanjung Dahan sepanjang 1 kilometer (km) berjaya mengutip sebanyak 429.5 kilogram sampah.