Pekerja SWM tidak sangka terima penghargaan daripada Menteri KPKT

SEREMBAN, 18 Jun — Tahun 2020 merupakan tahun yang cukup bertuah dan bermakna bagi Pekerja Rendah Am (PRA) SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) Cawangan Jempol, Zainuddin Adam, 56.

Awal tahun ini, beliau menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) daripada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir sempena Hari Keputeraan baginda yang ke-72, bagaimanapun semalam, dia terpilih menerima penghargaan ‘Hero Pekerja Pembersihan Negeri Sembilan 2020’.

Ia disampaikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin dalam satu majlis yang berlangsung di SWCorp Malaysia di Cyberjaya.

Zainuddin yang melahirkan rasa terharu dan bangga dengan penghargaan itu berkata ia juga merupakan hadiah terindah sempena Hari Bapa yang akan disambut 21 Jun ini dan mengucapkan terima kasih kepada pengurusan SWM Environment kerana telah mencalonkannya.

“Kejayaan yang dikecapi hari ini adalah berkat usaha dan kesabaran dalam menjalankan amanah syarikat dengan baik dan sentiasa memberikan komitmen kerja yang tinggi ketika menyempurnakan setiap kerja di lapangan,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Bapa kepada dua orang anak berusia 26 dan 24 tahun itu juga menjadikan penghargaan yang diterima semalam dan pingat yang diterima sebelum ini sebagai pemangkin semangat untuk beliau berusaha lebih gigih pada masa akan datang.

“Setiap pekerja perlu mempunyai sikap rajin, disiplin yang tinggi dan mematuhi arahan ketua bagi memastikan tugasan di lapangan dapat diselesaikan dengan sempurna serta sentiasa terus berusaha memberikan komitmen kerja yang terbaik dalam memastikan kebersihan alam sekitar sentiasa terjamin,” katanya.