Pek Kasih Covid-19 beri manfaat 4,593 pekerja SWM Environment di Johor

JOHOR BAHRU, 29 OKT: SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) melalui entiti tanggungjawab sosial korporat (CSR), SWM Kasih mengagihkan Pek SWM Kasih Covid-19 kepada 4,593 pekerja kebersihan di negeri ini.


Pengurus Wilayah Johor, Mohd Zan Arris, berkata inisiatif SWM Kasih itu melengkapi Langkah Perlindungan dan Pencegahan yang dilaksanakan secara berterusan sejak bulan Februari lalu bagi menghindari risiko jangkitan membabitkan warga kerja SWM Environment.


Kata Mohd Zan ia bagi memastikan kelancaran operasi perkhidmatan terutama dalam keadaan semasa yang menyaksikan peningkatan kembali kes penularan Covid-19.


“Pengagihan Pek SWM Kasih Covid-19 mengandungi barangan penjagaan kebersihan diri seperti pelitup muka, pensanitasi tangan dan barangan kebersihan diri anti-bakteria.


“Ia bagi memenuhi keperluan dan membolehkan setiap warga kerja SWM Environment sentiasa bersedia dengan pek perlindungan diri tersebut yang boleh dibawa semasa bertugas di lapangan secara harian,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika gimik penyerahan Pek SWM Kasih Covid-19 kepada petugas barisan hadapan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di 15 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Johor.


Tambahnya lagi, inisiatif SWM Kasih Covid-19 telah mula dilaksanakan sejak April lalu dengan sumbangan disalurkan kepada golongan berpendapatan rendah (B40).


Ujarnya lagi, penerima manfaat inisiatif SWM Kasih berkenaan telah diperluaskan kepada warga kerja SWM Environment dan kontraktor bagi menghargai peranan mereka sebagai barisan hadapan kebersihan negara.


Sementara itu kata Mohd Zan, pihak SWM Environment komited untuk membudayakan norma baharu dan memastikan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam usaha memutuskan rantaian wabak
COVID-19.


“SWM Environment juga menyeru orang ramai untuk bersama memutuskan rantaian wabak tersebut dengan melupuskan sisa pelitup muka secara tertib bagi menghindarkan risiko jangkitan,” katanya lagi,


Johorkini