Nordin: 20% Pengurangan Janaan Sisa Ketika PKP. Perbandingan Tempoh Sama Tahun Lalu.

(Seremban, 18.08.2020) Pengarah SWCorp Negeri Sembilan, Nordin Bin Amat menyatakan bahawa ketika tempoh perintah kawalan pergerakan, sebanyak 21 ribu tan sampah telah dikutip. Pengurangan lebih kurang 20% daripada 25 ribu tan sampah pada tempoh yang sama tahun lepas.


Beliau memberitahu bahawa rekod menunjukkan pengurangan sisa di Negeri Sembilan. Ini menunjukkan bahawa rakyat di Negeri Sembilan telah mempunyai peningkatan kesedaran untuk mengasingkan sisa pepejal dan pelupusan sisa. Pengurangan sisa pepejal dapat menjaga kebersihan alam sekitar dan meningkatkan kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar.


Beliau yang hadir di Pejabat Operasi SWM Environment Negeri Sembilan pada pagi ini telah melancarkan Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat SWM Environment Negeri Sembilan dan menyatakannya ketika sidang media.


Mengurangkan Janaan Sisa


Beliau mengesahkan bahawa taklimat dan aktiviti yang dijalankan memainkan peranan. Beliau meminta penduduk di Negeri Sembilan untuk meneruskan amalan pengasingan sisa sebagai satu amalan kebiasaan dan juga menyesuaikan diri dengan norma baru serta mengurangkan janaan sisa.


Pengurus Wilayah Melaka & Negeri Sembilan, SWM Environment, Dr Al’Ashari menyatakan pihaknya setiap tahun menganjurkan sambutan Hari Kebangsaan dengan memasang kibaran Jalur Gemilang bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dan semangat patriotisma dikalangan warga kerja SWM Environment.


Beliau memberitahu SWM Environment menjalankan perkhidmatan di tiga buah negeri iaitu negeri Melaka, Negeri Sembilan dan Johor. Sejumlah 2,098 Jalur Gemilang telah dipasang di kenderaan dan sebanyak 436 Jalur Gemilang bagi Negeri Sembilan, 410 di Melaka dan 1,252 di Johor.


Beliau menyatakan sambutan Hari Kebangsaan juga dapat mengukuhkan semangat patriotisma kepada semua warga kerja dan menghayati Rukun Negara ketika sambutan majlis berlangsung.