Negeri Sembilan Tangguh Program Peringkat Negeri, Kebangsaan

SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan menangguhkan beberapa program peringkat negeri dan kebangsaan bagi mencegah penularan kes koronavirus (Covid-19) di negeri ini.


Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, keputusan itu berdasarkan Pre-Council Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri Covid-19 pada Isnin lalu yang memutuskan penangguhan tersebut sehingga ke tarikh yang akan diberitahu kelak.


“Beberapa program kerajaan yang ditangguhkan antaranya Majlis Penyerahan Insentif Pengeluaran Hasil Tanaman Pasca PKP Covid-19, Konvokesyen Khatam Hafaz Al‐Quran Institut Tahfiz Al‐Quran Negeri Sembilan (Itqan) dan Sambutan Hari Kanak-kanak Peringkat Negeri Sembilan.


“Program lain turut ditangguhkan adalah Konvensyen Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Negeri Sembilan, Hari Alam Sekitar Peringkat Negeri Sembilan, Konvensyen Kumpulan Inovasi dan Kreatif (KIK) Horizon Baharu Perpustakaan Awam Se-Malaysia dan Karnival Pekerjaan Negeri Sembilan,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini.


Aminuddin berkata, jabatan dan agensi kerajaan disarankan menilai kembali program yang telah dirancang dan meneliti keperluan pelaksanaannya dengan penglibatan melebihi 250 orang.


“Penglibatan peserta atau tetamu melebihi 250 orang terutama yang akan dihadiri oleh golongan berisiko tinggi seperti warga tua dan kanak-kanak adalah dinasihatkan untuk ditangguhkan atau ditiadakan.


“Sekiranya perlu dilaksanakan juga perlulah dalam skala yang amat terkawal dan prosedur operasi standard (SOP) perlu dipatuhi dengan ketat,” katanya.


Sementara itu, Aminuddin kesal dengan insiden tumpahan minyak di Pantai Cermin, Port Dickson dan Tanjung Tuan, Melaka pada Isnin lalu.
Beliau berkata, tumpahan minyak itu menjejaskan sepanjang kira-kira dua kilometer kawasan persisiran pantai Port Dickson yang merupakan kawasan pelancongan utama Negeri Sembilan.


“Impak bencana bukan sahaja kepada alam sekitar tetapi turut menjejaskan sumber pendapatan nelayan. Ekonomi perusahaan sekitar dan kesejahteraan awam juga terjejas apabila orang ramai tidak dapat melawat pantai tersebut dalam masa terdekat,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini hari ini.


Berikutan itu, Aminuddin berkata, kerajaan negeri akan meneliti pendekatan yang perlu diambil dengan kerjasama Jabatan Laut Malaysia (JLM) serta agensi lain berkaitan agar insiden berkenaan tidak berulang pada masa akan datang.


Menurutnya, kerja pembersihan telah dimulakan pagi tadi oleh agensi berkaitan dan mendapat kerjasama daripada SWCorp, SWM Environment dan Stesen Janakuasa Tuanku Jaafar Tenaga Nasional Berhad (TNB).


“Susulan kejadian itu, Jawatankuasa Tindakan Pembersihan Pantai Peringkat Daerah (JTPPPD) Port Dickson telah diaktifkan serta-merta serentak dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Alor Gajah, Melaka bagi menyelaras dan melaksanakan kerja pembersihan dan pelupusan sisa berminyak di kawasan yang terjejas.

“Siasatan juga sedang dilaksanakan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan JLM serta langkah-langkah pemantauan dan rondaan laut oleh agensi penguatkuasaan termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perikanan, Jabatan Perhutanan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.


Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/105311/EDISI/Melaka-NS/Negeri-Sembilan-tangguh-program-peringkat-negeri-kebangsaan


© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf