Mutiara Johor Land gabung jalin amalan 5S dengan KITARecycle

JOHOR BAHRU, 23 OKT: SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) menyokong usaha rakankorporat, Johor Land Berhad (JLand) membudayakan amalan 3R (Reduce, Reuse, Recycle) dan 5S (Sisih, Susun, Sapu, Seragam, Sentiasa Amal).


Pengurus besar korporat syarikat itu, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, inisiatif itu dilaksanakan melalui program kitar semula berganjaran, KITARecycle yang dilancarkan sempena program ‘Clean & Green’ di Kompleks Mutiara Johor Land, kelmarin.


Kata Mohd Norlisam, amalan 5S dan 3R saling melengkapi dalam usaha mewujudkan persekitaran tempat kerja yang selesa, kemas dan selamat serta mengurangkan pembaziran sumber. “Kaedah Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca (SAS) dan kitar semula wajar dipraktikkan bagi melaksanakan komponen sisih yang digariskan di bawah amalan 5S.


“Kitar semula merupakan amalan asas dalam melestarikan persekitaran kerja yang kini menjadi perhatian khusus agensi awam dan swasta,” katanya.


Jelas beliau lagi, SWM Environment melalui program KITARecycle sedia untuk membantu setiap organisasi melaksanakan inisitif tersebut yang memudahkan pemantauan aktiviti kitar semula dan penebusan mata
ganjaran melalui aplikasi mudah alih KITARecycle secara dalam talian.


Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan JLand, Datuk Sr Akmal Ahmad pula menyifatkan program KITARecycle memberi nilai tambah kepada program ‘Clean & Green’ yang dianjurkan syarikat hartanah tersebut.


Ujarnya, program KITARecycle bakal merancakkan lagi pembudayaan amalan kitar semula dalam kalangan anggota pekerja JLand yang bakal menjadi sebahagian aktiviti bulanan mereka.


Dalam pada itu, orang ramai dan organisasi yang berminat menjadikan program KITARecycle pengisian aktiviti komuniti dan inisiatif kelestarian untuk menghubungi pihak SWM Environment melalui pesanan
WhatsApp 012-618 00882 atau kiriman e-mel kepada support@kitarecycle.com serta boleh mendapatkan maklumat lanjut daripada laman sesawang KITARecycle di pautan www.kitarecycle.com.