Murid tadika santuni pekerja SWM

TANJUNG MINYAK 3 Mac – Bagi memupuk nilai-nilai murni dalam diri kanak-kanak, Tadika Iman Mutiara cawangan Tanjung Minyak Perdana telah mengadakan satu program menyantuni pekerja-pekerja pembersihan dari SWM Environment Sdn Bhd (SWM) baru-baru ini.


Penyelianya, Mar’ain Fazlin berkata antara aktiviti yang dilakukan ialah membawa pelajar tadika tersebut melihat sendiri tugas pekerja SWM dalam menjaga kebersihan sekitar.


Beliau berkata pelajar berkenaan turut diberi peluang menyantuni pekerja berkenaan dengan memberikan air minuman kepada mereka.


“Antara objektif yang kita cuba lakukan ialah untuk memupuk nilai murni dalam diri kanak-kanak dengan menyantuni pekerja yang selama ini membantu dalam menjaga persekitaran kita.


“Selain itu, kanak-kanak juga telah memberikan air minuman kepada pekerja berkenaan untuk menghilangkan dahaga dan kepenatan mereka yang bekerja di bawah panas mentari.


“Diharap dengan usaha yang dilakukan ini, kanak-kanak dapat menerap rasa hormat kepada semua orang yang ada di sekeliling,” katanya.