MBJB TIDAK AMBIL TINDAKAN DI PASAR AWAM – ORANG RAMAI PERLU SEDIA MENCEGAH

(JOHOR BAHRU, 16 MAC) Pasar-pasar awam di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) telah mengambil langkah proaktif mencegah penularan wabak berjangkit, Novel Coronavirus (COVID19) selain orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah pencegahan sendiri dan menyingkatkan masa berada di kawasan pasar awam. Antara pasar awam terbabit adalah Pasar Awam Johor Jaya, Pasar Awam Setia Indah, Pasar Awam Taman Molek, Pasar Awam Tiram dan Pasar Awam Kampung Melayu Majidee.

Penolong Pengarah Komunikasi Korporat MBJB, Muhammad Iqbal Arami Mohamed Sharif yang ditemui di program gotong-royong di Pasar Awam Johor Jaya memaklumkan bahawa pihak MBJB menyediakan cecair pencuci tangan di kaunter dan setiap jabatan di dalam bangunan MBJB bagi kegunaan kakitangan dan pelanggan. Tambahnya, orang awam yang berurusan di MBJB perlu menjalani pemeriksaan suhu badan terlebih dahulu bagi mencegah penularan wabak. Walau bagaimanapun, lima pasar awam yang dinyatakan masih belum melalui proses pencegahan.

GOTONG-ROYONG PASTIKAN KEBERSIHAN PASAR AWAM

Pihak MBJB, SWM Environment dan SWCorp telah bergotong-royong di pasar awam pada Isnin lalu bagi memastikan kebersihan di lokasi tumpuan awam berkenaan. Pihak SWM Environment melaksanakan kerja pembersihan di pasar awam setiap hari dan program gotong-royong berkenaan diadakan bagi meningkatkan tahap kebersihan yang menjadi tumpuan orang awam selain mencegah penularan wabak COVID19.

Difahamkan, program gotong-royong di lima pasar awam tersebut dilaksanakan serentak melibatkan seramai 30 orang anggota MBJB, 10 orang anggota SWCorp dan 65 orang anggota SWM Environment.