KITARecycle Diperluas, Galak Amalan Kitar Semula

MERLIMAU, 8 Okt. – Program KITARecycle yang dilaksanakan oleh SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) terus mendapat perhatian dari pelbagai institusi dan organisasi termasuklah rumah ibadat.


Terbaru, Gereja Methodist Merlimau, Jasin menjadi rumah ibadat kedua di negeri ini yang menyertai KITARecycle iaitu sebuah program kitar semula berinsentif yang menawarkan mata ganjaran kepada ahlinya.


Pengurus Wilayah Melaka dan Negeri Sembilan SWM Environment, Dr Al’Ashari Othman berkata, penglibatan ini menunjukkan bahawa aktiviti kitar semula tidak hanya tertumpu di rumah, sekolah atau pejabat, malah boleh juga dilakukan di rumah ibadat.


“Rumah ibadat mempunyai pengaruh besar dan peranan penting untuk mendidik masyarakat mengenai amalan murni dalam kehidupan seharian termasuklah kepentingan kitar semula. Oleh itu, SWM Environment menyambut baik usaha mana-mana rumah ibadat yang ingin melaksanakan pembudayaan 3R (Reduce, Reuse, Recycle) dan Pengasingan Sisa Di Punca (SAS).


“Melalui KITARecycle, SWM Environment menyediakan platform untuk menggalakkan aktiviti kitar semula dengan kaedah yang terkini dan mesra pengguna. Pengguna hanya perlu mendaftar sebagai ahli KITARecycle di laman web www.kitarecycle.com atau memuat turun aplikasi ini di Google Play dan seterusnya dapat mengumpul mata ganjaran yang boleh ditukar kepada wang tunai melalui perbankan dalam talian,” katanya.


Tambah Dr Al’Ashari, bagi menyokong inisiatif ini SWM Environment turut menempatkan sebuah sangkar kitar semula di Gereja Methodist Merlimau yang akan menjadi pusat pengumpulan barangan kitar semula KITARecycle di sekitar daerah Jasin.


“Kemudahan sangkar ini tidak terhad kepada ahli gereja sahaja, malah terbuka kepada penduduk sekitar asalkan mereka berdaftar sebagai ahli KITARecycle.


“Ahli KITARecyle hanya perlu menampal kod QR unik yang tertera nombor pendaftaran pada bungkusan yang mengandungi barangan kitar semula dan diletakkan di dalam sangkar. Seterusnya pihak SWM Environment akan membuat kutipan barangan kitar semula pada hari yang ditetapkan oleh Gereja Methodist Merlimau,” katanya.


Sebelum ini, program KITARecycle telah pun dilaksanakan di Masjid Cina di Krubong dan mendapat penyertaan sangat menggalakkan daripada kariah dan penduduk setempat.


“Selain rumah ibadat, SWM Environment amat mengalu-alukan penglibatan individu perseorangan, komuniti setempat, agensi kerajaan dan swasta, sektor komersial, pusat pendidikan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam program KITARecycle.


“Inisiatif ini diharapkan dapat mendidik dan menggalakkan masyarakat agar lebih aktif melaksanakan amalan budaya kitar semula selain mewujudkan komuniti yang peka dengan pengurusan sisa pepejal yang berhemah,” kata Dr Al’Ashari lagi.


Orang ramai atau mana-mana organisasi dan komuniti setempat yang ingin bekerjasama atau mendapatkan maklumat lanjut mengenai program KITARecycle boleh menghubungi SWM Environment melalui emel: support@kitarecycle.com ataupun mesej WhatsApp kepada 012 618 0082.