Kesiannya

SEJAK lebih lima tahun, dua beradik hidup dalam keadaan tidak terurus apabila timbunan sampah sarap penuh di dalam rumah mereka di Rumah Rakyat Sikamat, Seremban.

Zainah Hussin, 78, dan adiknya, Zainal, 60, dikatakan mengalami masalah mental sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan tinggal di rumah itu sejak lebih 10 tahun lalu.

Keadaan di dalam rumah itu didapati tidak terurus dengan setiap sudut dipenuhi timbunan sampah sarap terdiri daripada sisa dan bekas makanan serta minuman.

Presiden Persatuan Alumni Universiti Terbuka Malaysia Negeri Sembilan (PIOUS Alumni OUM), Zarinna Abu Zarin berkata, persatuan itu simpati dengan kehidupan dua beradik itu yang terbiar.

Katanya, selain keadaan kediaman mereka tidak terurus, paling menjijikkan apabila najis mereka bersepah antara timbunan sampah itu, sekali gus menimbulkan keadaan tidak sihat.

“Berpandukan maklumat daripada jiran, dua beradik itu sudah lama berkeadaan begitu apabila Zainal suka mencari barang lusuh untuk dibawa pulang.

“Malah, Zainah dikatakan pernah bekerja sebagai pekerja am di sebuah kolej di Seremban, tetapi selepas menamatkan perkhidmatan keadaan dia tidak seperti dulu.

“Saya difahamkan, jiran terdekat mereka pernah membuat aduan mengenai keadaan kehidupan dua beradik itu kepada pemimpin setempat, tetapi tidak mendapat perhatian atau bantuan sewajarnya,” katanya yang melaksanakan program amal di rumah mereka, hari ini.

Zarinna berkata, PIOUS Alumni OUM sedang mengadakan program amal sempena Ramadan dengan menyatuni keluarga kurang bernasib baik, golongan asnaf, ibu tunggal, sakit kronik, warga usia emas dan anak yatim di sekitar Seremban.

Beliau berkata, pihaknya mendapat maklumat mengenai keadaan kedua beradik itu dan tidak menyangka mereka didapati berada dalam rumah kotor dan busuk.

“Kami bersama sukarelawan saudara baru bergotong-royong membersihkan sampah sarap di rumah Zainah termasuk memandikannya apabila melihat keadaannya sangat busuk dan rumah kotor.

“Kami membersihkan kediaman mereka dan mengemas barangan sepatutnya dan mendapat kerjasama SWM Environment bagi membantu membuang sampah sarap dalam rumah mereka,” katanya.

Zarinna berkata, pihaknya turut memaklumkan keadaan dua beradik terbabit kepada pihak berwajib dan pemimpin setempat untuk mengambil tindakan sesuai supaya mereka dapat dibantu dan memastikan tidak terus berkeadaan kotor dan menjijikkan.