Kesedaran 3R Melestarikan Alam Sekitar

PORT DICKSON, 12 Mac (Malaysiaaktif) – Kesedaran terhadap kebersihan dan kelestarian alam sekitar adalah satu intipati dalam pelaksanaan Dasar Kebersihan Negara yang dilancarkan tahun lalu oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Pengarah SWCorp Negeri Sembilan, Nordin Amat, berkata para pelajar akan bergiat aktif dalam aktiviti kesedaran 3R (Reuse, Reduce and Recycle) melalui pelaksanaan pelbagai aktiviti kesedaran pendidikan yang diberikan.

“Golongan pelajar adalah ejen bagi meningkatkan penglibatan amalan 3R dan mengurangkan janaan sisa pepejal melalui media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya,” ujarnya ketika berucap dalam Majlis Penutup Program Komuniti Outreach Kitar Semula di Politeknik Nilai, di sini, baru-baru ini.

Menurut Nordin bagi mencapai hasil kesedaran ini, pelbagai inisiatif perlu dilaksanakan bagi memastikan hasrat kerajaan dalam mewujudkan rakyat berminda kelas pertama untuk menguruskan sisa pepejal secara sistematik dapat direalisasikan.

“SWM Environment dan SWCorp percaya usaha yang dilaksanakan bersama pelajar di institusi pendidikan dapat membantu dalam mencapai keberhasilan impak yang positif tinggi sekaligus memastikan sumber bahan terbuang dapat digunakan secara optimum,” tambahnya lagi.

Program Komuniti Outreach Kitar Semula tersebut adalah sebuah inisiatif yang dilaksanakan bagi peringkat negeri melalui penganjuran program oleh syarikat konsesi SWM Environment dan agensi kerajaan melibatkan institusi pendidikan sama ada di peringkat tinggi, sekolah rendah dan menengah.

Pelbagai pengisian turut diadakan bagi memberi pendedahan kepada peserta tentang kepentingan menjaga alam sekitar dan amalan kitar semula dalam kehidupan seharian.

-AK