Kampung Tanah Merah Site A terima 115 tong sampah beroda. SWM harap penduduk kampung tingkatkan kesedaran

(Chuah, 21.02.2020) Sejumlah 115 buah tong sampah diberikan kepada penduduk kampung Tanah Merah Site A oleh SWM Environment. SWM berharap penduduk kampung tingkatkan kesedaran untuk mengurangkan masalah pembuangan sampah merata-rata. Sebelum ini, penduduk kampung membuang sampah ke dalam tong komunal yang disediakan. Namun, lama-kelamaan timbul masalah seperti terdapat individu luar tidak bertanggungjawab turut membuang sampah di lokasi tersebut. Situasi ini menyebabkan janaan sampah terlalu banyak sehingga mencemarkan sungai berhampiran. Sungguhpun, sungai tersebut dibersihkan beberapa kali oleh pihak berkuasa, masalah tidak selesai.

Akhirnya, Ahli Jawatankuasa Kampung Tanah Merah Site A menghantar permohonan kepada MPPD dengan harapan penduduk kampung ini mendapat perkhidmatan yang sama seperti penduduk Kg Sri Lukut dan Kg Sri Parit iaitu kutipan dilakukan melalui TSB individu. Di bawah gazet MPPD, SWM memberikan TSB percuma kepada penduduk. Setelah setahun berbincang, akhirnya, MPPD dan SWM telah mencapai persetujuan menyerahkan sejumlah 115 buah TSB kepada penduduk kg Tanah Merah Site A. Majlis pengedaran TSB telah diadakan di Balairaya Kg Tanah Merah Site A. Penerima sangat menghargai tindakan yang diambil oleh PBT.

Ahli Majlis MPPD, Yan Xue Yiao tingkatkan kesedaran kebersihan persekitaran

Ahli Majlis Port Dickson, Yan Xue Yiao berharap selepas ini penduduk yang menerima TSB percuma ini akan menggunapakai TSB dengan betul dan berhemah serta tingkatkan kesedaran untuk menjaga kebersihan persekitaran dan tidak lagi membuang sampah merata-rata. Pada masa yang sama, beliau mengharap penduduk memberikan kerjasama kepada SWM dengan mengikut jadual kutipan yang ditetapkan bagi membantu pekerja SWM melakukan kerja-kerja kutipan.

Sementara itu, Ketua Kampung Chen Han Hong berterima kasih kepada MPPD dan juga SWM di atas bantuan serta kerjasama yang diberikan. Beliau menggesa penduduk kampung untuk menjaga kebersihan kampung. Lagipun, menjaga kebersihan kampung adalah tanggungjawab semua penduduk kampung.