Jentera SWM Environment Kibar Jalur Gemilang

AYER KEROH, 10 Ogos – Bagi menyemarakkan lagi Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020, SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) mengambil inisiatif mengibarkan Jalur Gemilang di semua 267 buah jentera pembersihan miliknya di negeri ini.


Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, usaha itu juga bagi menyahut seruan kerajaan sempena pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 dengan tema ‘Malaysia Prihatin’.


“Pemasangan Jalur Gemilang ini adalah simbolik kepada semangat patriotisme cintakan kepada negara tanah tumpah darah kita ini seiring dengan sambutan Hari Kemerdekaan ke-63. Kami berharap inisiatif ini dapat menyuburkan lagi nilai patriotik dalam kalangan masyarakat umum termasuk juga warga kerja SWM Environment,” katanya.


Acara pelepasan (flag off) jentera SWM Environment yang dihias dengan Jalur Gemilang telah disempurnakan oleh Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis dalam satu program Kibarkan Jalur Gemilang Sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-63 anjuran bersama dengan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) di Taman Rempah, pada 8 Ogos lepas.


Menurut Mohd Norlisam, pemasangan Jalur Gemilang di kenderaan SWM Environment juga sebagai tanda menzahirkan sokongan solidariti kepada semua wira barisan hadapan yang berjuang memerangi wabak COVID-19.


“Bersesuaian dengan tema ‘Malaysia Prihatin’, SWM Environment ingin menyatakan penghargaan kepada semua hero yang tidak didendang termasuklah warga kerja pembersihan SWM Environment yang telah bertungkus-lumus menjaga kebersihan ketika negara dilanda pandemik COVID-19,” katanya.


Dalam pada itu, beliau turut menyeru orang ramai agar mengambil semangat Sambutan Bulan Kebangsaan ini untuk memerdekakan mentaliti dengan berhijrah ke arah ingin mempertingkatkan kebersihan di kawasan kediaman masing-masing, kejiranan, negeri dan negara kita dengan mengamalkan pengurusan sisa dengan lebih berhemah seperti pengasingan sisa di punca (Separation At Source – SAS) dan 3R (Reduce, Reuse, Recycle).


Sikap dan tabiat membuang sampah merata-rata dan pengurusan sisa pepejal yang tidak teratur harus dielak dan dihentikan.


Beliau menambah, sudah tiba masanya rakyat mempunyai kesedaran yang lebih tinggi dan mantap tentang tanggungjawab menjaga kebersihan dan menguruskan sampah atau sisa pepejal ini bukan hanya terletak di bahu kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), syarikat konsesi dan pekerja-pekerja kutipan dan pembersihan semata-mata, malah ianya memerlukan kerjasama daripada semua pihak khususnya orang ramai yang menjadi sumber janaan sampah dan sisa pepejal.


“Masalah kebersihan akan terus berulang jika masyarakat tidak ‘membebaskan’ diri daripada sikap buruk tersebut. Sebaliknya kesedaran mengenai kebersihan pasti dapat dicapai jika masyarakat memiliki mentaliti yang merdeka,” katanya.