JANGAN MEMBUANG PENUTUP MULUT MERATA TEMPAT SELEPAS PAKAI LIPAT DENGAN CARA YANG BETUL SERTA IKAT SEMPURNA LALU BUANG DALAM TONG SAMPAH.


(Berita Batu Pahat) Pelitup mulut didapati telah menjadi antara sebahagian keperluan harian dan kerja membersihkan pelitup mulut juga semakin bertambah. Pihak SWM Environment mengingatkan orang ramai agar melupus pelitup mulut dengan cara yang betul dan tidak membuangnya di merata tempat.


Pengurus SWM Environment Wilayah Negeri Johor, Encik Mohd Zan Bin Arris berkata, selepas menggunakan pelitup mulut ianya perlu diikat dengan cara yang betul dan sempurna sebelum dimasukkan ke dalam beg plastik kemudiannya dibuang terus ke dalam tong sampah.


Katanya lagi, segelintir masyarakat sering membuang pelitup mulut di atas jalan raya. Ini bukan sahaja menjejaskan kebersihan, malah mendatangkan risiko kepada pekerja yang mengutip sampah. Beliau menegaskan, pelitup mulut adalah bahan yang tidak boleh dikitar semula. Oleh itu, orang ramai diminta tidak terus membuangnya ke dalam tong sampah tetapi perlu diuruskan dengan sempurna sebelum dimasukkan ke dalam tong sampah agar kebersihan persekitaran dan kesihatan orang ramai akan lebih terjamin.


Encik Mohd Zan Bin Arris berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Program Kempen Kibar Jalur Gemilang Johor Utara anjuran SWM Environment dan SWCorp pada hari ini di sini. Menurut beliau lagi, seiring dengan semangat kemerdekaan, mutu perkhidmatan kebersihan perlu dipertingkatkan lagi dan rakyat perlu bekerjasama membudayakan pengasingan sampah dengan cara yang betul demi kebersihan alam sekitar negara.


Selain itu, beliau turut ditanyakan mengenai masalah sampah di kawasan Pantai Minyak Beku Batu Pahat. Encik Mohd Zan Bin Arris berkata, kawasan Pantai Minyak Beku sungguhpun bukan dalam kawasan perkhidmatan SWM Environment sepenuhnya, tetapi pihak SWM Environment menyediakan dua orang pekerja bagi melakukan kerja-kerja pembersihan pantai pada setiap hari mengikut jadual yang telah ditetapkan.


Lebih daripada 70 warga SWM Environment Johor Utara telah hadir dalam program Kempen Kibarkan Jalur Gemilang bagi kawasan Johor Utara pada pagi ini di sini. Turut diserikan perarakan kenderaan SWM Environment yang mengibarkan Jalur Gemilang.


Turut hadir Tuan Molzairy bin Yahya, Penolong Pengarah SWCorp Batu Pahat, Encik Khaw Su Aun, Pengurus Operasi Wilayah SWM Johor Utara, Dr Peter Looi, Pengurus Pekhidmatan Kawasan SWM Johor Utara dan Encik Choo Chiau Seng Pegawai Perhubungan Awam SWM.