Jangan Buang Sampah. MBNS Turun Pantai Didik Orang Ramai

(Port Dickson, 10.07.2020) YAB Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Bin Harun telah turun ke pantai untuk mendidik pengunjung yang masih degil membuang sampah di pantai serta menyeru pengunjung untuk menyayangi pantai dan menghentikan sikap tidak bertanggungjawab membuang sampah di merata-rata tempat.


Pantai PD telah dibuka sepenuhnya semasa tempoh pemulihan dan pengunjung dibenarkan untuk datang ke pantai setelah dibuka pada minggu kedua. Namun begitu, keadaan kebersihan pantai terjejas akibat kedatangan pengunjung yang ramai dan sampah dibuang sesuka hati.


Beliau telah membuat dihantaran Facebook sebelum itu keadaan pantai yang kotor akibat sikap pengunjung yang tidak bertanggungjawab.


Lantaran itu, beliau telah turun ke pantai untuk mendidik orang ramai bersama-sama Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato’ Razali, Timbalan Speaker Kerajaan Negeri Sembilan, YB Ravi, Yang Di-Pertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Tuan Zamri, dan pegawai-pegawai MPPD.


Tetamu yang hadir ke program tersebut telah diambil suhu dan mengisi butir peribadi untuk rekod pihak MPPD. Antara tetamu yang hadir daripada SWCorp Negeri Sembilan, SWM Environment turut serta bersama MPPD mengedar pelekat cermin kenderaan dan beg plastik biodegradasi.


Kebersihan Pantai Perlu Dijaga


Beliau menyatakan pantai Port Dickson ialah pantai pilihan utama pengunjung datang ke Port Dickson. Kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan sentiasa menyeru pengunjung untuk menjaga kebersihan melalui pelbagai jenis usaha. Sekarang inilah masanya untuk orang ramai mempunyai kesedaran sendiri.


Beliau memberitahu pengunjung sepatutnya tidak boleh membuang sampah sesuka hati disebabkan tong sampah penuh. Sekiranya tong sampah penuh, pengunjung perlu membuang sampah tersebut di tempat lain yang mempunyai tong sampah atau membawa pulang sampah tersebut.


“Kita tidak sepatutnya memenuhi pantai dengan tong sampah. Sekiranya pihak berkuasa tempatan meletakkan tong sampah setiap 100 meter, ia akan mencacatkan pemandangan.”


Aminuddin juga memberitahu bahawa pekerja pembersihan pantai memulakan kerja pembersihan seawal jam 6:00 pagi hingga 7:00 malam setiap hari dan pegawai penguatkuasa menjalankan tugas mendenda pembuang sampah.