DITUNDA 2 KALI AKIBAT HUJAN, 5 KAWASAN BATU PAHAT SELESAI OPERASI SEMBURAN SANITASI AWAM

(Berita Batu Pahat) Operasi Sanitasi Awam Daerah Batu Pahat yang telah ditunda sebanyak 2 kali akibat hujan lebat, akhirnya dapat dilaksanakan dengan jayanya pada hari ini bermula pukul 8.00 pagi sehingga 5.00 petang. Seramai kira kira 60 anggota dari beberapa agensi terlibat dalam operasi tersebut.


Perlaksanaan Operasi Sanitasi Awam Covid-19 Daerah Batu Pahat dibahagikan kepada 5 kawasan, salah satu kawasan berada dalam Mukim Kampung Kanan dan 4 kawasan lagi dalam Mukim Sri gading.


Kawasan semburan sanitasi adalah termasuk Bandar Baru Pura Kencana, Jalan Utama Sri Gading, Bandar Universiti Parit Raja, Kawasan Perumahan Parit Raja, Balai Polis, Pejabat Pos, Pasaraya, Stesen Minyak, Klinik Kesihatan, Pasar Awam dan Balai Raya.


Agensi yang terlibat dalam program tersebut adalah SWM, SWCorp, MPBP, MDYP, JBPM, PDRM dan Rela.


Mengikut laporan daripada Pejabat Daerah Batu Pahat, sebanyak kira kira 47 kes jangkitan Covid-19 berlaku dalam daerah Batu Pahat. Mukim Sri Gading mencatatkan rekod tertinggi dan telah disenaraikan dalam Zon Jingga (terdapat 21 hingga 40 kes).


Semua anggota yang terlibat berkumpul di Bandar Universiti, Parit Raja pada pukul 8.00 pagi hari ini. Selepas mendegar taklimat, mereka mengagihkan kumpulan untuk membuat semburan sanitasi mengikut kawasan. SWM telah ditugaskan membuat operasi di Bandar Universiti, Kedai Makanan Segera dan Pasaraya manakala JBPM pula ditumpukan di Bandar Baru Pura Kencana. Semburan sanitasi itu menggunakan bahan kimia Calcium Hypochlorite.

China Perss 7-4-2020