Covid-19: SWM Environment Utamakan Keselamatan Pekerja

SEREMBAN – SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) mengutamakan keselamatan dan kebersihan dalam kalangan pekerja susulan operasi diteruskan seperti biasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani wabak koronavirus (Covid-19).
Ketua Pegawai Eksekutif SWM Environment Sdn Bhd, Ho De Leong berkata, semua pekerja bekerja mengikut jadual dan melakukan aktiviti pembersihan di lapangan khususnya di tempat awam. Katanya, pihak syarikat sentiasa mengambil perhatian serius bagi memastikan wabak koronavirus (Covid-19) tidak menjejaskan keselamatan dan kesihatan warga kerja SWM Environment yang berkhidmat di lapangan.


“SWM Environment merupakan syarikat konsesi perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di tiga buah negeri di Selatan Semenanjung Malaysia iaitu Johor, Melaka dan Negeri Sembilan di mana pihak syarikat sentiasa memastikan pekerja di lapangan mempunyai tahap kesihatan yang baik.


“Pekerja di lapangan merupakan tonggak utama syarikat memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Tambahnya, pihaknya sedia maklum bahawa pekerja di lapangan sentiasa terdedah kepada pelbagai jenis risiko semasa menjalankan kerja-kerja kutipan sisa pepejal dan pembersihan.

Katanya, pihak syarikat bimbang sekiranya pencegahan untuk melindungi diri tidak diamalkan dengan baik semasa menjalankan tugas, pekerja akan berisiko untuk dijangkiti penyakit termasuk Covid-19 secara tidak langsung melalui sentuhan sisa yang telah digunakan seperti tisu dan sebagainya.


“Oleh sebab itu, SWM Environment sentiasa menekankan aspek penjagaan keselamatan dan kesihatan diri kepada kakitangan dan pekerja di lapangan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai sarung tangan, alat keselamatan penuh serta menggunakan cecair pembasmi kuman mengurangkan risiko penyakit berjangkit seperti wabak Covid-19 yang sedang melanda.


“Pihak syarikat juga menjalin kerjasama dengan Jabatan Kesihatan di ketiga-tiga buah negeri bagi menganjurkan taklimat perlindungan diri dan pencegahan penularan wabak Covid-19 kepada kakitangan dan pekerja di lapangan agar dapat meningkatkan kesedaran untuk melindungi diri ketika bertugas,” katanya.