COVID-19: Paroi dan Senawang lokasi awal program sanitasi

SEREMBAN: Lima kawasan taman perumahan di Paroi dan Senawang, di sini, akan menjadi lokasi terawal program sanitasi awam bertujuan menyekat rantaian penularan wabak COVID-19, bermula esok.

Sekretariat program, Ahmad Khomeini Kamarudzaman, berkata lima taman perumahan terbabit ialah Taman Panchor Jaya, Taman Desa Orkid, Taman Seri Pagi, Taman Desa Melor dan Taman Desa Anggerik.

Beliau yang juga Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Seremban 2, berkata pemilihan lima taman berkenaan disebabkan ia menjadi tumpuan awam.

Katanya, lebih 120 anggota daripada 11 agensi kerajaan akan terbabit dalam melaksanakan sanitasi berkenaan.

“Selain JPBM, turut terbabit ialah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, SWM Environment, Jabatan Penerangan dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Segala persiapan termasuk peralatan sudah dibuat untuk melaksanakan operasi ini yang akan bermula jam 9 pagi esok,” katanya di sini, hari ini.

Ahmad Khomeini berkata, seperti ditetapkan Majlis Keselamatan Negeri (MKN), semua penduduk di kawasan terbabit diminta memberi kerjasama kepada pasukan operasi, dengan berada dalam rumah masing-masing.

“Pastikan semua tingkap ditutup kerana aktiviti sanitasi akan dibuat secara menyeluruh. Penduduk juga diminta memastikan kenderaan mereka tidak menghalang operasi.

“Saya harap mendapat kerjasama orang ramai terutama penduduk di lima taman perumahan terbabit agar sanitasi ini berjalan lancar,” katanya.