Covid-19: Operasi SWM Environment berjalan seperti biasa

MELAKA 18 Mac – SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) akan terus beroperasi seperti biasa susulan daripada Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin.


Ketua Pegawai Eksekutif SWM Environment, Ho De Leong berkata, operasi diteruskan bagi memastikan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang merupakan salah satu perkhidmatan penting negara dilaksanakan mengikut jadual ditetapkan.


Bagaimanapun, katanya, pihak syarikat sentiasa memastikan wabak Covid-19 (koronavirus) tidak menjejaskan keselamatan dan kesihatan warga kerja SWM Environment yang berkhidmat di lapangan.


“Pekerja di lapangan sentiasa terdedah kepada pelbagai jenis risiko semasa menjalankan kerja-kerja kutipan sisa pepejal dan pembersihan. Pihak syarikat bimbang jika langkah pencegahan untuk melindungi diri tidak diamalkan dengan baik semasa menjalankan tugas, pekerja akan berisiko untuk dijangkiti penyakit termasuklah wabak Covid-19 secara tidak langsung melalui sentuhan sisa yang telah digunakan seperti tisu dan sebagainya.


“Oleh itu, SWM Environment sentiasa menekankan aspek penjagaan keselamatan dan kesihatan diri kepada pekerja di lapangan. Warga SWM Environment dinasihatkan untuk mematuhi Prosedur Piawaian Operasi (SOP) seperti memakai sarung tangan serta alat keselamatan penuh, memastikan diri sentiasa dalam keadaan bersih dan menggunakan ‘hand sanitiser’ serta mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa bagi mengurangkan risiko penyakit berjangkit seperti wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan.


Tambah beliau, SWM Environment dengan kerjasama jabatan kesihatan di ketiga-tiga buah negeri juga telah menganjurkan taklimat perlindungan diri dan pencegahan penularan wabak Covid-19 kepada kakitangannnya.


Dalam pada itu, katanya, SWM Environment menyeru orang ramai mengamalkan pengurusan sisa pepejal yang lebih baik dengan membungkus sampah di dalam beg plastik sampah diikat kemas dan dibuang ke dalam tong sampah beroda yang disediakan.


“Amalan tersebut berupaya mengurangkan risiko penularan penyakit berjangkit serta meningkatkan kualiti kebersihan dan alam sekitar,” katanya.