Buang penutup muka, sarung tangan dengan betul – SWM

MELAKA, 27 Mac — SWM Environment Sdn Bhd mengingatkan orang ramai supaya membuang penutup hidung dan mulut serta sarung tangan yang telah digunakan mengikut tatacara yang betul.


Pengurus Wilayah Melaka dan Negeri Sembilan SWM Environment Sdn Bhd, Dr Al’Ashari Othman berkata ia bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19, sekali gus mengurangkan risiko pekerja pembersihan yang terdedah kepada wabak tersebut.


“Bagi penutup hidung dan mulut yang telah digunakan, ia perlu dilipat dua dengan memastikan permukaan luar yang telah tercemar berada di dalam dan sarung tangan juga dibuang dengan cara betul serta dimasukkan ke dalam plastik yang dibungkus.


“Sisa tersebut termasuk sisa-sisa lain seperti tisu dan plastik yang telah digunakan, tidak boleh dibiarkan terdedah atau dibuang merata-rata,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.


Beliau berkata pekerja-pekerja di lapangan sentiasa terdedah kepada pelbagai jenis risiko semasa menjalankan kerja-kerja kutipan sisa pepejal dan pembersihan, justeru kerjasama daripada orang ramai amat diharapkan.


— BERNAMA