Bersama-Sama Pelihara Pantai Daripada Sisa Jaring

KUALA LINGGI 21 Sept. – Pantai peranginan Tanjung Dahan, di sini harus bebas daripada sisa jaring atau pukat dan sampah-sarap kerana ia menjejaskan kebersihan dan industri pelancongan.


Kawasan peranginan itu akan sepi daripada pengunjung, jika ia terus dikotori dengan pembuangan sisa jaring yang koyak-rabak dan sampah-sarap yang bertimbun.


Pengarah Kewangan yang menjalankan tugas Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Ummi Khalthum Shuib menegaskan, sisa jaring koyak-rabak yang dibuang di pantai bukan setakat meningkatkan jumlah sampah-sarap, malah menjejaskan keindahan pantai.


“Sisa jaring atau pukat turut dikutip oleh sukarelawan pada hari ini yang menjadi sebahagian daripada keseluruhan 500 kilogram (kg) sampah-sarap yang berjaya dikumpulkan.


“Selain itu, botol minuman plastik turut menjadi sampah yang paling banyak dikumpulkan hanya dalam tempoh dua jam aktiviti mengutip sampah dijalankan oleh sukarelawan di pantai Tanjung Dahan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas perasmian program Pembersihan Dunia Peringkat negeri di Pantai Tanjung Dahan, di sini kelmarin.


Program itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perhubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi Datuk Wira Ismail Othman mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Haji Sulaiman Md Ali.


Selain pegawai dan kakitangan SWCorp dan syarikat pemegang konsesi pembersihan, SWM Environment Sdn. Bhd., program berkenaan turut dijayakan kira-kira 500 sukarelawan dari pelbagai pertubuhan bukan kerajaan.


Mereka mengutip sampah di pantai berkenaan yang terkenal sebagai destinasi pelancongan menarik di negeri ini selama dua jam mulai jam 2 petang.


Ummi Khalthum berkata, selain di pantai itu, program berkenaan turut dijalankan serentak di Pantai Siring, Jasin dan Pulau Melaka serta Bukit Beruang di Bandaraya Melaka.


Sementara itu, Pengarah SWCorp Melaka Khairuladha Abdul Mutalib berkata, anggota komuniti dan pengunjung pantai yang popular sebagai destinasi pelancong harus memikul tanggungjawab bersama memelihara kebersihan.


“Jangan buang sampah merata-rata tempat, terutama di pantai kerana ia menjejaskan pemandangan dan menyebabkan pencemaran bau.


“Bersama-sama kita menjayakan hasrat bagi menjadikan Melaka destinasi pelancongan menarik dan popular melalui penjagaan kebersihan alam sekitar,” katanya.