BANDAR BATU PAHAT, TONGKANG PECAH, PARIT YAANI, 6 KAWASAN BUAT SEMBURAN SANITASI COVID-19

(Berita Batu Pahat 7/4/2020) Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia, SWM dan beberapa agensi telah melaksanakan Operasi Sanitasi Awam secara besar-besaran di kawasan bandar Batu Pahat, Tongkang Pecah dan Parit Yaani. Sebanyak 6 kawasan telah terlibat dalam operasi tersebut. Ini adalah lanjutan daripada perlaksanaan operasi pada hari semalam di kawasan Parit Raja dan Sri Gading.


Pada pagi ini satu taklimat khas telah diadakan yang disampaikan oleh wakil Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia kepada Yang Di-Pertua MPBP Encik Kamalludin, Ahli Parlimen Batu Pahat YB Datuk Mohd Rashid dan semua agensi yang terlibat.


Pihak SWM telah menggunakan 2 unit lori dengan bantuan 6 orang pekerja, manakala JBPM pula menggunakan lori tangki, lori bomba, sebahagian anggota dengan kelengkapan PPE telah membuat semburan sanitasi ditempat-tempat yang tertentu.


Operasi tersebut juga telah dibantu oleh PDRM, Pasukan Rela dan kakitangan MPBP. Semua anggota yang terlibat sama membantu melakukan semburan sanitasi di kawasan perumahan, Kawasan Perniagaan, Rumah kediaman Pegawai Daerah, Bangunan kerajaan seperti Balai Polis, Pejabat Kesihatan, Pejabat Pendidikan, Pejabat Pertanian, Pejabat Tanah, Bangunan Kerajaan Persekutuan dan Klinik Kesihatan.


Program pada pagi ini telah masuk fasa kedua. Tindakan susulan akan dilakukan secara berterusan sehingga 14 April ini.


Penduduk diminta sentiasa mengambil perhatian berkenaan jadual Operasi Sanitasi Awam tersebut dan perlu menutup pintu dan tingkap serta elakkan menyidai pakaian di luar rumah.


PASARAYA, TAMAN PERMAINAN JUGA DILAKUKAN SEMBURAN SANITASI.


Pasukan semburan sanitasi juga membuat semburan di bangunan Jabatan Kerajaan, pasaraya dan taman permainan kanak-kanak dengan menggunakan Calcium Hypochlorite. Bangunan yang sering menjadi tumpuan orang ramai juga berada dalam senarai perlaksanaan.


Operasi Sanitasi Awam juga akan dilakukan secara berterusan khususnya di Pasar Awam dan kawasan tumpuan orang awam.


China Press 8-4-2020