7,872 PEKERJA JOHOR, MELAKA, NEGERI SEMBILAN TERIMA PEK SWM KASIH COVID-19

(Berita Batu Pahat) SWM Environment Sdn. Bhd. meneruskan usaha penerapan norma baharu dan memastikan pematuhan peraturan pemakaian pelitup muka dalam kalangan 7,872 orang pekerja anggota kerjanya di negeri Johor, Melaka dan Negeri Sembilan melalui pengagihan sumbangan Pek SWM Kasih Covid-19. Seramai 2,225 pekerja Johor Utara menerima Pek SWM Kasih Covid-19 tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Encik Ho De Leong berkata ”sejak bulan Febuari lalu, syarikat melalui tanggungjawab sosial korporat telah memberi sumbangan kepada pekerja penjagaan kebersihan diri seperti pelitup muka, pensanitasi tangan dan barangan kebersihan diri anti-bakteria untuk memastikan seluruh pekerja terutama anggota di barisan hadapan perkhidmatan terhindar daripada risiko jangkitan” .


SWM Environment telah mula melaksanakan inisiatif SWM Kasih Covid-19 sejak bulan April yang lalu dengan memberikan sumbangan kepada golongan pekerja berpendapatan rendah (B40). Penerima manfaat inisiatif SWM Kasih berkenaan telah diperluaskan kepada warga kerja SWM Environment dan kontraktor bagi menghargai peranan mereka sebagai frontliner kebersihan Negara.


Katanya, pihak SWM Environment juga komited untuk memastikan Tatacara Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan dipatuhi dalam memutuskan rantaian pandemik COVID-19. Justeru itu, beliau menyeru agar masyarakat umum untuk bersama-sama memutuskan rantaian pandemik berkenaan khususnya dengan melupuskan sisa pelitup muka secara tertib bagi menghindarkan risiko penyakit berjangkit.