17 JUN RAIKAN HARI PEKERJA PEMBERSIHAN, SWM ENVIRONMANT HARGAI PERANAN PEKERJA

(JOHOR BAHRU, 16 JUN) SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) buat julung kalinya meraikan warga kerjanya sempena Hari Pekerja Pembersihan yang disambut pada 17 Jun setiap tahun di peringkat antarabangsa.


Ketua Pegawai Eksekutif, Ho De Leong dalam kenyataannya memaklumkan bahawa sambutan berkenaan diraikan buat pertama kalinya di negeri Johor sebagai platform bagi menghargai 5,810 orang pekerja kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam yang komited berkhidmat di 15 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri Johor.

Jelas beliau, peranan dan sumbangan mereka merentasi batas waktu, cuaca dan keadaan termasuk bertugas di barisan hadapan ketika penularan pandemik COVID-19 terutamanya sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan terlibat dalam melaksanakan Operasi Sanitasi Awam bersama agensi berkaitan.


Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Ayub Jamil merakamkan penghargaan atas khidmat dan dedikasi yang ditonjolkan oleh pekerja kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam dalam memastikan negeri Johor dalam keadaan bersih, indah dan selesa. Beliau turut menyeru orang ramai untuk meraikan peranan mereka dengan mempraktikkan kaedah Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca dan amalan kitar semula bagi mengurangkan penghasilan sisa pepejal.