1,456 ORANG DITEMPATKAN DI 22 PUSAT KUARANTIN – 1,042 KINI DIRAWAT, 54 ORANG DIPERIKSA

JOHOR BAHRU, 10 APRIL – Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R. Vidyananthan berkata, seramai 1,456 orang telah menjalani kuarantin di pusat kuarantin yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Johor. Daripada jumlah tersebut, seramai 1,402 orang pesakit dipantau (PUS) dan 54 orang lagi adalah pesakit disiasat. Daripada jumlah pesakit tersebut, seramai 1,161 orang adalah warga tempat termasuk yang bekerja di Singapura manakala seramai 150 orang pula mereka yang menyertai perhimpunan tabligh dan bakinya, 145 orang pelajar yang baru kembali dari Indonesia.


Beliau turut memetik Laporan Jawatankuasa Tindakan Bencana Alam Negeri Johor dalam kenyataan medianya hari ini yang menyatakan sebanyak 80 buah pusat kuarantin disediakan di negeri Johor dengan sebanyak 22 pusat kuarantin yang telah beroperasi dan mampu menampung seramai 3,296 orang pesakit.


455 LOKASI MENJALANI SANITASI AWAM


Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor bersama agensi berkaitan telah melaksanakan Operasi Sanitasi Awam di 455 lokasi bermula sejak 27 Mac lalu sehingga 9 April. Antara lokasi awam yang terlibat adalah pasar awam, perhentian bas dan teksi, bangunan kerajaan dan stesen minyak membabitkan agensi seperti SWCorp, Polis Diraja Malaysia (PDRM), RELA, SWM Environment, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor.


Tambah beliau, Jabatan Kesihatan Negeri Johor melaporkan pertambahan sebanyak tujuh kes positif COVID-19 di negeri Johor menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 503 kes manakala tiada sebarang peningkatan kes kematian direkodkan.