1,300 JENTERA SWM ENVIRONMENT KIBARKAN JALUR GEMILANG SEMPENA HARI KEBANGSAAN

(JOHOR BAHRU, 13 OGOS) SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang bersempena sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun ini melalui pemasangan Jalur Gemilng pada jentera pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam bagi memupuk semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat umum.

Pengurus Wilayah Johor, Mohd Zan Arris dalam sidang media memaklumkan bahawa 1,300 jentera milik SWM Environment dan kontraktor di bawahnya di negeri Johor seperti lori kompaktor dan lori open tipper akan memasang Jalur Gemilang.

Menurut beliau, pihak SWM Environment juga memperluaskan kempen tersebut dengan memasang Jalur Gemilang di seluruh 15 pejabat dan depoh di seluruh negeri Johor. Tambahnya, usaha tersebut merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) SWM Environment sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Tambahnya, selari dengan tema Hari Kebangsaan pada tahun ini, Malaysia Prihatin, pihak SWM Environment menyeru orang ramai untuk terus menjaga kebersihan persekitaran dan melaksanakan Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca dalam memastikan kelestarian alam sekitar.