YB Datuk Md. Jais: Jangan jadi pengotor – tindakan akan diambil terhadap 169 lokasi sampah longgok

Summary: Talian Indahkan Malaysia 1-800-88-7472 was mentioned in the statement given by the SWCorp personnel during the CSR event organized by SWCorp at Kluang with the involvement of SWM Environment

(Kluang, 13 Mei 2017) Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Datuk Md Jais Sarday berkata, terdapat 334 lokasi sampah longgok haram yang dikenalpasti di negeri Johor dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 169 lokasi telah dikenakan tindakan terhadap pelaku. Beliau berharap agar orang ramai tidak membuang sampah secara merata-rata.

Jelas beliau, masalah seperti air lelehan sampah yang akan mencemarkan longkang dan anak sungai antara masalah yang akan timbul sekiranya masalah sampah longgok haram ini tidak diatasi. Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program Gotong-Royong di Kampung Tengah yang dianjurkan oleh SWCorp pada hari ini, di sini.

Beliau meminta orang ramai untuk meningkatkan kesedaran dan mengubah sikap buruk membuang sampah di merata-rata tempat.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah SWCorp Negeri Johor, En. Cairul Hisham Jalaluddin berkata, tindakan menutup lokasi sampah longgok haram telah diambil dan pemantauan telah dilaksanakan selama tiga bulan untuk memastikan masalah tersebut tidak berulang. Beliau menjelaskan bahawa mereka yang terlibat dengan masalah pembuangan sampah haram boleh didakwa di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang memperuntukkan denda tidak melebihi daripada RM100 ribu atau penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

Tambah beliau, pihaknya akan membuat pemeriksaan sekali seminggu dan mendapatkan maklumat bagi mengambil tindakan yang tegas terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab terbabit. Terdapat 29 buah lokasi sampah longgok haram telah dikenalpasti di daerah Kluang dan tindakan yang tegas akan diambil. Beliau juga meminta orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat tentang pembuangan sampah haram di negeri Johor melalui talian 1-800-88-7472.