World Clean Up Day Di Pantai Teluk Kemang Kumpul 557 Kilogram Sampah.

(Port Dickson, 17.09.18) JCI Seremban dengan kerjasama SWM Environment Sdn Bhd telah menganjurkan World Clean Up Day di Pantai Teluk Kemang serentak dengan sambutan di seluruh dunia. Lebih daripada 80 orang sukarelawan telah melibatkan diri dan berjaya mengumpul sejumlah 557 kilogram sampah. 431 kilogram adalah sisa kitar semula dan barangan lain.

Program ini telah mendapat sokongan daripada pelbagai pihak iaitu Majlis Perbandaran Port Dickson, Majlis Belia dan Suka Negeri Sembilan, SWM Environment dan McDonalds PD Waterfront. Juga turut mendapat sokongan daripada Yang Berhormat Tuan S. Veerapan, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan.

Presiden JCI Negeri Sembilan mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan atas penglibatan mereka. Walaupun cuaca pada hari itu tidak baik, hujan sebelum acara dimulakan tetapi tetap diteruskan selepas hujan reda.

Tanggungjawab Semua Menguruskan Sampah

Presiden JCI memberitahu, memilih Teluk Kemang untuk mengadakan World Clean Up Day bagi mempromosikan pengasingan sampah kepada pengunjung. Pemilihan pantai tersebut bukanlah disebabkan sampah yang banyak.
Beliau menekankan sampah adalah urusan setiap individu tetapi kerajaan negeri telah memperuntukkan banyak wang untuk menguruskan masalah sampah.

Beliau percaya adalah tanggungjawab semua pihak untuk menangani masalah sampah daripada meletakkan masalah itu diatas bahu kerajaan semata-mata. Beliau meminta orang ramai untuk mewujudkan sikap menguruskan sampah dengan berhemah bagi membantu kerajaan mewujudkan kehidupan yang lebih baik dan bersih.

Majlis pembukaan dihadiri oleh Exco Negeri Sembilan, YB Tuan S. Veerapan yang memuji usaha JCI yang aktif menganjurkan aktiviti sebegini bagi meningkatkan lagi kesedaran awam untuk menguruskan sampah dengan baik.
Beliau turut memaklumkan peruntukan sebanyak RM5,000 bagi dana acara yang dianjurkan.

Veerapan memberitahu beliau telah melantik JCI Negeri Sembilan sebagai rakan kerjasama bagi bersama-sama merangka program akan datang Zon Bebas Asap Rokok.