Waktu Pembersihan Pantai Telah Ditukar Kepada Awal Pagi.

(Port Dickson, 17.08.18) YB Teo Kok Seong memaklumkan Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Tuan Aminuddin Bin Harun, amat mengambil berat akan kepentingan kebersihan pantai Port Dickson. Oleh itu beliau telah meminta SWM untuk bertanggungjawab dan memberikan kerjasama memperbaiki kebersihan di pantai. Beliau telah datang membuat lawatan atas arahan YAB Menteri Besar bersama-sama Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat SWM Environment, Tuan Haji Mohd Norlisam, Pegawai SWCorp Cawangan Port Dickson, Encik Mohd Irwan dan beliau turut diberikan penerangan ringkas oleh Setiausaha Majlis Perbandaran Port Dickson, Tuan Ahmad Hashim.

Pada masa ini, syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal telah menghantar pekerja untuk membersihkan pantai bermula jam 6:00 pagi hingga 8:30 pagi. Ini bagi membolehkan pengunjung tidak melihat pekerja membersihkan pantai dan membuatkan pengunjung berasa selesa.

Beliau memberitahu orang awam, pengunjung dan peniaga perlu memberikan kerjasama menjaga kebersihan pantai Port Dickson.

Dalam masa yang sama, Teo Kok Seong juga berasa gembira bahawa Pakatan Harapan telah berjaya melaksanakan janji 100 hari bagi kerajaan Negeri Sembilan. Antara janji yang telah ditunaikan adalah dengan mewartakan status kewangan dan mengekalkan cukai pintu.