TEE SIEW KIONG – PELANCONG PERLU DAPATKAN KHIDMAT PEMANDU PELANCONG

(PONTIAN, 8 FEBRUARI) Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan
Negeri Johor, Datuk Tee Siew Kiong meminta pelancong mendapatkan pemandu pelancong tempatan yang mahir tentang lokasi pelancongan bagi memastikan keselamatan mereka.

Datuk Tee Siew Kiong berkata demikian dalam satu sidang media selepas menghadiri Program SWM Kasih Misi Sampul Merah bertempat di Roseville Villa di sini anjuran SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) Sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina. Beliau memberi kenyataan demikian sebagai mengulas kejadian pelancong sesat di Gunung Pulai baru-baru ini.

Beliau meminta pelancong sama ada dari luar Negara atau luar dari kawasan berkenaan untuk mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Merujuk kepada perkara tersebut, Tee mengingatkan agar orang awam untuk memohon kebenaran terlebih dahulu daripada Jabatan Perhutanan untuk memasuki Gunung Pulai.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa pihak Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM157.6 juta untuk disalurkan kepada 47,721 buah keluarga yang kurang berkemampuan. Daripada jumlah tersebut, daerah Pontian diperuntukkan sebanyak RM132 juta yang disalurkan kepada 4,000 orang kurang berkemampuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Menerusi program tersebut, pihak SWM Environment telah mengagihkan angpau kepada 25 orang warga emas dan menyumbang keperluan barangan dapur kepada 20 buah keluarga kurang berkemampuan.

Turut hadir pada program tersebut adalah Pengarah Eksekutif, SWM Environment, Dr. Uzir Abd. Malik dan Yang Dipertua Majlis Daerah Pontian (MDP), Hj. Kamalludin Hj. Jamal.