TAN HONG PIN – TEMPOH HAYAT TAPAK PELUPUSAN SANITARI SEELONG DIJANGKA SEMAKIN SINGKAT

(JOHOR BAHRU, 7 JUN) Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi Negeri Johor, Tan Hong Pin memaklumkan bahawa jangka hayat Tapak Pelupusan Sanitari Seelong dijangka semakin singkat meskipun masih mempunyai hayat selama 17 tahun lagi memandangkan kebanyakan tapak pelupusan di negeri ini mendekati tamat tempoh.Jelas beliau, Tapak Pelupusan Sanitari Seelong yang mula beroperasi sejak tahun 2004 dan dijangka tamat tempoh hayatnya pada tahun 2035. Namun, dengan adanya cadangan di beberapa tapak pelupusan lain yang bakal tamat tempohnya dan bakal dibina pusat pemindahan sebelum sampah yang dipindahkan dilupuskan di Tapak Pelupusan Sanitari Seelong. Langkah tersebut sekaligus akan menyingkatkan tempoh hayat tapak pelupusan berkenaan. Beliau berkata demikian ketika menyertai Sidang Media Strategi Operasi Aidilfitri dan Majlis Berbuka Puasa Media-SWM Johor di sini.Tambah beliau lagi, terdapat sebanyak 15 buah tapak pelupusan di seluruh negeri Johor yang sebahagian daripadanya telah tamat tempoh dan masih tiada lokasi yang sesuai untuk dibangunkan tapak pelupusan baharu. Dalam pada itu, beliau turut memberitahu bahawa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bakal menanggung peningkatan kos pengangkutan sekiranya kesemua sampah perlu dilupuskan di Tapak Pelupusan Sanitari Seelong.Selain itu, beliau turut memaklumkan tentang pelaksanaan Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca oleh kerajaan sebagai tidak berkesan. Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai membuat pengasingan sisa pepejal dan mengurangkan penghasilan sampah bagi memanjangkan tempoh hayat tapak pelupusan. Dari segi kesedaran orang ramai pula akan dilaksanakan melalui pendidikan dan penglibatan orang ramai dan bukan sekadar tindakan penguatkuasaan yang memaksa mereka mengasingkan sampah.

Pihak kerajaan Negeri juga akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat dengan aktiviti sampah longgok haram. Kontraktor binaan dikesan mengambil kesempatan membuang sisa binaan di tapak atau ladang kelapa sawit. Pihak berkaitan diminta untuk mengambil tindakan terhadap mereka termasuk pemilik tanah bagi membanteras masalah yang semakin serius.

SWM AKAN BEROPERASI SEPERTI BIASA SEMASA MUSIM PERAYAAN

Dalam pada itu, Pengurus Wilayah Johor, SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment, Mohd Zan Arris berkata bahawa operasi SWM Environment akan berjalan seperti biasa sempena Aidilfitri ini yang dijangka pada 15hb dan 16hb Jun nanti. Jelas beliau lagi, pihaknya menjangkakan peningkatan sampah yang dihasilkan daripada 3,600 metrik tan pada hari-hari biasa kepada 4,000 metrik tan pada musim perayaan selain Johor Bahru mencatatkan penghasilan sampah sebanyak 1,200 metrik tan setiap hari.

Tambah beliau lagi, pihak SWM Environment telah mengaturkan jadual kutipan khas sempena Aidilfitri dengan fokus kepada kawasan Pusat Bandar dan mempunyai penduduk majoriti Islam. Manakala, bagi kawasan protokol pula, jadual kutipan akan berjalan seperti biasa dan kawasan perniagaan pula akan dianjakkan selain kerja pemotongan rumput yang ditangguhkan dan kembali beroperasi seperti biasa pada 17hb Jun.

Beliau memohon kerjasama daripada orang ramai untuk menyalurkan aduan atau pertanyaan kepada talian Indahkan Malaysia di 1-800-88-7472 atau Talian WhatsApp SWM di 012-618 0082.