TAN CHEN CHOON – CARI LANGKAH DAN HARAP SAMPAH KURANG 22%

(ISKANDAR PUTERI, 11 MEI) Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Negeri Johor, Tan Chen Choon berkata Kerajaan Negeri sedang berusaha mengurangkan sebanyak 22% penghasilan sampah di kesemua tapak pelupusan di negeri Johor menjelang tahun 2020.

Menurutnya, sebanyak 15 tapak pelupusan di negeri Johor sedang menghampiri tempoh hayatnya dan Kerajaan Negeri perlu mencari langkah yang sesuai untuk menanganinya. Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pra-Pelancaran Program KITAR3cycle dan Komos Sisa Makanan di Taman Sutera, di sini, pagi tadi.

Jelasnya, inisiatif KITAR3cycle yang diperkenal tersebut dijangka mampu mengurangkan penghasilan sampah di tapak pelupusan dan menjangkakan seluruh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mampu melaksanakannya. Tambahnya lagi, inisiatif KITAR3cycle dan kompos sisa makanan yang dilaksanakan oleh pihak SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) dan Tanah Sutera Development Sdn. Bhd. (Tanah Sutera) tersebut adalah yang pertama seumpamanya dilaksanakan di kawasan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).

Sementara itu, Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat, SWM Environment pula memaklumkan bahawa penduduk di Taman Sutera berpeluang menebus wang tunai dengan mengumpulkan barangan kitar semula dan menyertai inisiatif KITAR3cycle. Beliau menjelaskan penduduk perlu memuat turun aplikasi KITAR3cycle dan mengumpul mata ganjaran sebelum menebusnya kepada bentuk wang tunai. Pihak SWM Environment menyediakan perkhidmatan kutipan barangan kitar semula sebanyak sekali seminggu dan di Taman Sutera, kutipan sisa makanan dilaksanakan setiap hari.

“Inisiatif ini akan hanya bermula pada bulan Jun dan dilaksanakan terlebih dahulu secara perintis selama 3 bulan. Sekiranya inisiatif ini mendapat sambutan yang positif, pihak SWM Environment komited untuk memperluas ke kawasan perumahan yang lain,” katanya selepas majlis tersebut yang turut dihadiri oleh ADUN Skudai, Tan Hong Pin dan Pengurus Besar Tanah Sutera, Ng Boon Liong.

TAN KOH HENG: MULA KOMPOS SISA MAKANAN SEJAK 5 TAHUN LALU

Dalam pada itu, Penolong Pengurus Pemasaran, Tanah Sutera, Tan Koh Heng memberitahu bahawa inisiatif tersebut telah mula dilaksanakan sejak 5 tahun lalu dan sehingga kini sebanyak 2 tan metrik sisa makanan dikutip setiap hari. Pihaknya mampu mengumpulkan sebanyak 50 tan metrik sisa makanan setiap bulan dan sejumlah 8 tan metrik baja berjaya dihasilkan melalui proses pengkomposan.

ADUN Skudai, Tan Hong Pin pula menyeru agar semua pihak bekerjasama melaksanakan kaedah Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca. Rakyat perlu laksanakannya tanpa menantikan sebarang bentuk imbuhan sebagaimana yang dilakukan oleh rakyat China. Jelas beliau, China mencatatkan sebanyak 95% sampah yang diasingkan dan semasa lawatannya ke sana mendapati semua pihak bekerjasama menjayakan kaedah tersebut.