TAHAP KESEDARAN KITAR SEMULA RENDAH, HANYA 15% PREMIS ASINGKAN SAMPAH

(MUAR, 13 JULAI) Pengarah Ekskeutif, SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment), Dr. Uzir Abd Malik memaklumkan bahawa tahap kesedaran orang ramai tentang kaedah Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca (PSDP) masih rendah dengan peratusan dicatatkan antara 15% hingga 20% sahaja walaupun kaedah tersebut telah dikuatkuasa sejak dua tahun lalu.Jelas beliau, sasaran bagi kitar semula diletakkan 22% dan ke atas, tetapi setakat ini masih belum dapat mencapainya. Walau bagaimanapun, pihaknya masih berpuas hati dengan segelintir masyarakat yang peka melaksanakan kaedah tersebut.

Beliau yang ditemui semasa Program SWM Kasih Senyum Syawal di Pusat Hemodialisis Hidayah pada hari ini menyeru agar orang ramai melaksanakan kaedah PSDP yang akan dipantau secara kerap berserta tindakan tegas oleh pihak SWCorp.

Tambah beliau lagi, kempen kesedaran tentang kaedah PSDP akan terus diperhebat dalam mencapai sasaran peratusan kitar semula yang ditetapkan selain menjadi platform menjaga alam sekitar. Kempen kesedaran yang dilaksanakan diperluas dengan penglibatan kanak-kanak di peringkat pra-sekolah dan sekolah.

Sementara itu, Pengurusan Wilayah Johor, SWM Environment, Mohd Zan Arris pula memaklumkan bahawa pihak Kerajaan Negeri akan memberi fokus kepada inisiatif pengurangan sisa pepejal (zero waste) dalam tempoh akan datang dengan objektif untuk mengurangkan penjanaan sisa buangan seharian yang sekaligus membantu memanjangkan tempoh hayat tapak pelupusan.

Beliau turut memaklumkan bahawa kaedah PSDP dan amalan kitar semula boleh dijadikan sumber pendapatan sampingan dan menjadi sumber tenaga selain memberi manfaat dalam bentuk kegunaan lain.

Dalam pada itu, ADUN Bukit Naning Md. Ysahrudin Kusni yang hadir meraikan 50 orang pesakit dari pusat hemodialisis berkenaan turut memaklumkan bahawa kerajaan baharu pada hari ini akan memberi tumpuan kepada isu sampah termasuk soal penguatkuasaan kompaun PSDP yang tidak dipersetujui oleh orang ramai.

Beliau turut mengalu-alukan inisiatif daripada pihak SWM Environment melalui program tersebut dan menyaksikan penyerahan sumbangan berjumlah RM1,000 kepada Pusat Hemodialisis Hidayah berkenaan.
Turut hadir pada program tersebut adalah Pengurus Pusat Hemodialisis Hidayah, Azman Mukri dan Pengerusi Persatuan Pelancongan Muar, Sallehuddin Satar.