@swmenvironment Sedia Bantu Mangsa Banjir

JOHOR BAHRU, 20 SEPTEMBER – Selaku syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di negeri Johor, pihak SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) telah membuat persiapan awal bagi menghadapi musim banjir di seluruh 15 buah kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini.

Pengurus Wilayah Johor, SWM Environment, En. Mohd Zan Arris memaklumkan bahawa langkah proaktif tersebut dilaksanakan dengan memastikan longkang dan parit di seluruh kawasan perkhidmatannya dibersihkan mengikut jadual yang ditetapkan dan bebas daripada sebarang masalah pengaliran bagi mengelakkan berlakunya banjir kilat di kawasan berkenaan.

Tambah beliau, langkah ini diputuskan setelah mengambil kira akan keadaan cuaca semasa yang melanda di serata negeri Johor pada ketika ini. Dalam pada itu, beliau juga memohon kerjasama daripada penduduk setempat untuk tidak membuang sampah di merata-rata tempat khususnya ke dalam longkang dan parit agar sistem pengalirannya tidak terjejas.

Selain daripada membersihkan longkang dan parit, persiapan awal tersebut turut merangkumkan khidmat bantuan berbentuk pengutipan dan pembersihan sisa bencana seperti perabot rosak kepada mangsa yang terjejas secara percuma. Jelas beliau, Inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) tersebut dilaksanakan mengikut keperluan dan keutamaan di kawasan-kawasan yang terjejas setelah mengambil maklum akan faktor kebersihan lokasi kejadian dan keselesaan mangsa pasca banjir.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang khidmat bantuan yang disediakan kepada mangsa banjir kilat dari Kg. Tuah Jaya dekat Taman Perling. Dengan kekuatan seramai enam orang tenaga kerja dan disokong bersama sebuah jengkaut dan lori Roll-On Roll-Off (RORO), pihak SWM Environment telah mengumpulkan sisa bencana seberat lima tan.

Pihak SWM Environment turut mengalu-alukan penglibatan dan kerjasama daripada orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berhubung keadaan longkang dan parit di setiap kawasan perkhidmatannya melalui Talian Indahkan Malaysia di 1-800-88-7472 atau kongsikan terus ke Talian WhatsApp SWM di 012-618 0082.