SWM MENGATASI JUMLAH SAMPAH UNTUK 3 TAHUN YANG AKAN DATANG DENGAN MENINGKATKAN TARAF TAPAK PELUPUSAN FASA 2

Fasa 1A di Tapak Pelupusan Sungai Udang dijangka akan mencapai kapasiti maksimum pada bulan Ogos nanti. Dengan itu, pihak SWM Environment akan membuat penambahbaikkan dengan penambahan Fasa 2A untuk mengatasi masalah sampah untuk 3 tahun yang akan datang. Menurut Pengurus Wilayah SWM Environment, Dr. Al’Ashari Othman kawasan 1A yang telah dinaik taraf dijangka akan mencecah kapasiti maksimun pada bulan Ogos ini. Fasa kedua dalam peningkatan taraf kawasan 2A seluas 6.5 ekar dan kawasan 2B dan 2C masih menunggu kelulusan daripada pihak kerajaan. Beliau berkata demikian semasa Majlis Sidang Media dan Berbuka Puasa di Hotel Ramada.

Dr. Al’Ashari juga berkata Melaka menjana jumlah sampah sebanyak 900 tan sehari dan dijangka akan meningkat ke 20 – 30 tan sampah sehari sepanjang bulan puasa. Beliau menyeru penduduk supaya tidak melakukan pembaziran makanan sehingga boleh menjejaskan persekitaran.

Mengikut data, 45% daripada jumlah sampah adalah terdiri daripada jumlah sisa baki. Dengan itu, beliau menyeru penduduk supaya tidak melakukan pembaziran makanan dan boleh menjana lebihan sampah. Beliau juga mengingatkan penduduk supaya mengamalkan konsep 3R iaitu ‘Reduce, Reuse, Recycle’ untuk mengurangkan jumlah sampah. Sepanjang bulan puasa, perkhidmatan sampah dan pembersihan tidak akan terganggu dan akan meletakkan tong roro di taman yang telah dirancang untuk pengutipan sampah pukal.