SWM kekal jadual kutipan sampah pada musim perayaan

MELAKA: SWM Environment Sdn Bhd (SWM) mengekalkan jadual kutipan sampah di punca walaupun menjangkakan berlaku peningkatan sehingga dua peratus sisa sampah domestik pada musim perayaan Tahun Baru Cina.

Pengurus SWM Wilayah Melaka dan Negeri Sembilan, Dr Al’Ashari Othman, berkata peningkatan sisa sampah domestik khususnya sepanjang musim perayaan memang dijangkakan dan jumlah itu masih lagi dalam keadaan terkawal.

“SWM masih lagi mengekalkan jadual kutipan sisa sampah domestik iaitu sebanyak dua kali seminggu, manakala sekali seminggu bagi kutipan sampah pukal serta sisa kitar semula sepanjang musim perayaan ini.

“Malah, kita menjangkakan penduduk khususnya kaum Cina akan menggunakan peluang membersihkan rumah bagi menyambut Tahun Baru Cina dan akan berlaku peningkatan sisa sampah domestik sepanjang tempoh berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Malam Penghargaan Media Melaka anjuran SWM di Hotel Ramada, di sini, malam tadi.

Yang hadir sama, Pengarah Eksekutif SWM Environment, Dr Uzir Abdul Malik dan Yang Dipertua Kelab Media Massa Melaka (KEMM), Samat Majid.

Pada majlis itu, SWM turut menyampaikan sijil penghargaan kepada semua wakil media cetak dan elektronik di Melaka sebagai tanda sokongan ke atas syarikat berkenaan.

Dalam majlis itu, wakil media turut diraikan dalam persembahan karaoke, acara belon beracun serta cabutan nombor bertuah.